Majlis Nuzul Al-Quran Peringkat Negeri Sarawak di Kota Samarahan

0

KOTA SAMARAHAN: Majlis Nuzul Al-Quran Peringkat Negeri Sarawak akan diadakan pada 25 Julai di Masjid Al-Muttaqin di sini, kata Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam) Datuk Daud Abdul Rahman.

Beliau memberitahu, majlis itu dijangka akan dihadiri lebih 1,800 orang termasuk 300 orang terdiri daripada kalangan tetamu kenamaan.

“Majlis Nuzul Al-Quran Peringkat Negeri ini akan diadakan di bahagian Samarahan pada 25 Julai ini bersamaan 16 Ramadan bermula 5.30 petang di Masjid Al-Muttaqin Samarahan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat akhir Majlis Sambutan Nuzul Al-Quran Peringkat Negeri Sarawak di Pejabat Residen Samarahan di sini semalam.

Daud berkata, majlis itu akan dihadiri Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Datuk Patinggi Abang Muhammad Salahuddin dan Toh Puan Norkiah serta Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud bersama isteri, Puan Sri Ragad Kurdi Taib.

“Tujuan kita mengadakan majlis sambutan ini adalah bagi memperingati peristiwa bersejarah turunnya al-Quran di muka bumi ini.

“Pada masa yang sama kita mahu melahirkan institusi masyarakat yang bersatu padu berteraskan panduan al-Quran,” katanya.

Selain itu, beliau memberitahu bahawa ia juga sebagai platform mendedahkan cabaran semasa umat Islam dalam menjalinkan perpaduan masyarakat setempat dan menggalakkan masyarakat Islam menerokai khazanah Al-Quran.

Malah sempena majlis itu, katanya satu seminar khas turut akan diadakan di Dewan Suarah Kota Samarahan bermula jam 7.30 pagi hingga 1 petang.

“Dalam seminar ini dua sesi akan diadakan di mana sesi pertama bersama Pensyarah Kanan Fakulti Pengajian Al-Quran dan As-Sunnah Universiti Sains Islam Malaysia bagi membentangkan tajuk ‘Membumikan Al-Quran Iktibar Peristiwa Nuzul Al-Quran.

“Manakala sesi kedua pula para peserta akan bersama Mufti Negeri Sarawak Ustaz Kipli Yassin yang membentangkan tajuk Al-Quran Sumber Wasatiyyah,” jelasnya.

Justeru, beliau menggesa masyarakat Islam untuk hadir beramai-ramai di Masjid Al-Muttaqin Samarahan bagi memeriahkan sambutan Nuzul Al-Quran nanti.

Hadir sama Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak Datu Putit Matzen, Residen Samarahan Ismail Mohd Hanis dan tetamu kehormat lain.