Perkeso lancar operasi ‘Jom Kesan’

0

MARIAM (dua kanan) menjawab soalan pemberita dalam sesi sidang media, turut kelihatan Jimmy (tengah) dan pegawai-pegawai kanan Perkeso yang lain.

TAWAU: Golongan majikan diingatkan supaya mendaftarkan segera perusahaan dan pekerja masing-masing sebelum pihak Pertubuhan Keselamatan Sosial Pekerja (Perkeso) melancarkan operasi Jom Kesan dalam tempoh terdekat di negeri ini.

Menurut Pengarah Perkeso Sabah, Mariam Hassan, Jom Kesan akan dilancarkan untuk mengesan majikan-majikan yang ingkar daripada melaksanakan tanggungjawab mereka sebagaimana yang sepatutnya.

“Namun, buat masa ini kita memberi peluang kepada para majikan untuk berurusan di kaunter-kaunter sedia ada tanpa dikenakan sebarang tindakan undang-undang sebelum operasi Jom Kesan dimulakan,” katanya.

Mariam berkata demikian pada sidang media di Pejabat Perkeso Tawau di sini kelmarin sambil menegaskan pihak Perkeso sedia memberikan khidmat nasihat dan bantuan kepada para majikan sesuai dengan keperluan mereka.

Menyentuh hal berkaitan, Pengurus Perkeso Tawau, Jimmy Hendrick Kijon berkata pihaknya sudah melakukan pembayaran faedah bernilai RM830,068.41 kepada para pencarum di daerah ini untuk tempoh antara Januari hingga Jun lepas.

“Kita melaksanakan sembilan program pencegahan kemalangan dan ceramah saringan kesihatan selain 14 siri ceramah kepada pihak majikan dan pekerja untuk memberikan kesedaran kepada golongan sasar,” katanya.

Jimmy berkata, untuk tempoh Januari hingga Jun lepas juga, Perkeso Tawau merekodkan sebanyak 461 kes faedah melibatkan Faedah Hilang Upaya Sementara (217 kes), Faedah Orang Tanggungan (7), Faedah Hilang Upaya Kekal (50), Pencen Ilat (36), Pencen Penakat (88) dan Faedah Pengurusan (63).

Malah, Perkeso Tawau juga dimaklumkan sudah mengeluarkan 24 kompaun kepada pihak majikan atas pelbagai kesalahan yang dilakukan mereka di sekitar daerah ini membabitkan jumlah kutipan sebanyak RM5,000.

“Perkeso Tawau berhasrat untuk menyelesaikan kesemua 14 kes pendakwaan yang direkodkan di daerah ini sebelum akhir tahun ini melibatkan kesalahan seperti lewat membayar wang caruman atau mendaftar perusahaan dan pekerja.

Difahamkan, setakat ini Daerah Tawau mempunyai sebanyak 10,007 majikan yang didaftarkan melibatkan seramai 15,295 pekerja tetapi hanya 4,995 sahaja yang dilaporkan masih aktif.