Sambutan besar-besaran 22 Julai rai kebebasan daripada British

0

ACARA BESAR-BESARAN: Awang Tengah (dua kiri) pada sidang media mengenai majlis sambutan hari kebebasan yang akan diadakan pada 22 Julai ini di Wisma Bapa Malaysia, Kuching semalam. Turut kelihatan (dari kiri) Naroden, Morshidi dan Ose. — Gambar Jeffery Mostapa

KUCHING: Sarawak akan mengadakan sambutan se­cara besar-besaran sempena memperingati tarikh 22 Julai 1963, iaitu perjuangan men­dapatkan kebebasan daripada penjajahan British, 50 tahun lalu.

Menteri Perancangan Sum­ber dan Alam Sekitar Kedua Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, 22 Ju­lai 1963 merupakan tarikh penting dalam sejarah negeri apabila Sarawak berjaya mem­bentuk kerajaan sendiri.

Menurutnya, lebih penting pada tarikh tersebut Gabenor British Sir Alexander Waddel telah menyerahkan kuasa ke­pada anak tempatan, Stephen Kalong Ningkan sebagai Ket­ua Menteri yang pertama.

“Tahun ini, sempena samb­utan 50 Tahun Merdeka Dalam Malaysia, kita men­gadakan acara ini secara besar-besaran pada 22 Julai.

“Kita adakan acara simbo­lik ini yang menggambarkan peristiwa penyerahan kuasa daripada penjajah melalui persembahan pantomin,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa pen­ganjur di Wisma Bapa Malay­sia di sini, semalam.

Perasmian acara berkenaan dijangka disempurnakan oleh Yang di-Pertua Negeri Tun Datuk Patinggi Abang Mu­hammad Salahuddin dan dihadiri Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud di Tebingan Kuching pada jam 9 pagi.

Tambah beliau, sebelum ini kerajaan negeri turut mengadakan acara yang sama setiap tahun cuma pada tahun ini ia lebih istimewa kerana tempoh 50 tahun itu begitu simbolik.

Awang Tengah menegaskan, meskipun belum ada cadangan untuk menetapkan bahawa 22 Julai sebagai cuti umum kepada rakyat Sarawak, ta­rikh berkenaan harus terus diperingati.

“Jika tidak, generasi muda kita yang lahir selepas mer­deka tidak akan mengetahui sejarahnya bahawa apa yang dinikmati pada hari ini hasil daripada perjuangan pem­impin terdahulu.

“Dengan itu juga, generasi muda akan tahu dan tidak akan mengambil mudah mengenai perkara berkenaan,” kata beliau.

Awang Tengah memberi­tahu, pada tarikh itu Gabenor British melantik lima ahli jemaah menteri yang pertama dan pembentukan kabinet pertama bertanggungjawab mentadbir negeri, bukan lagi di bawah kuasa penjajah.

Ditanya mengenai cadan­gan untuk memasukkan sejarah berkenaan dalam mata pelajaran Sejarah dalam sistem pendidikan, beliau berkata, kerajaan negeri berusaha ke arah itu.

“Sudah pastinya kera­jaan negeri berusaha untuk memasukkan ia dalam mata pelajaran Sejarah,” katanya.

Hadir sama Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Pembangunan Usahawan Bumiputera) Datuk Mohd Naroden Majais, Setiausaha Kerajaan Negeri Tan Sri Datuk Amar Mohd Morshidi Abdul Ghani dan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Datu Ose Murang.