Mawan: Usah buat spekulasi peningkatan kebakaran

0

KUCHING: Usah buat sebarang spekulasi tentang insiden kebakaran yang berlaku sejak akhir-akhir ini, tegas Menteri Pembangunan Sosial Tan Sri William Mawan Ikom.

Beliau memberitahu, pihak berkuasa harus diberi peluang menjalankan siasatan untuk mengenal pasti punca kebakaran dan rakyat tidak seharusnya membuat sebarang andaian negatif.

“Janganlah kita membuat andaian kita sendiri kerana ia (kebakaran) boleh terjadi dalam apa jua keadaan,” katanya ketika diminta mengulas mengenai insiden kebakaran yang kerap berlaku di Sibu sejak kebelakangan ini yang disifatkan ada unsur sabotaj oleh pihak tertentu.

Mawan yakin pihak berkuasa akan menjalankan siasatan terperinci bagi mengenal pasti punca sebenar kebakaran yang berlaku.

“Saya tidak fikir tiada siasatan dijalankan terhadap mana-mana kejadian kebakaran kerana setiap insiden kebakaran pihak berkuasa seperti polis dan Jabatan Bomba dan Penyelamat (BOMBA) akan menjalankan siasatan.

“Apa yang penting kita tidak boleh membuat sebarang andaian atau tuduhan,” katanya lagi.

Pada masa yang sama beliau menasihat agar pemilik premis bangunan serta rumah panjang menjalankan pemeriksaan tahap keselamatan terutamanya berkaitan pendawaian elektrik.

Tambahnya, ia bagi langkah keselamatan dan mengurangkan risiko berlakunya insiden kebakaran terutamanya pada musim kemarau ini.

“Pemilik premis perlu melakukan pemeriksaan tahap keselamatan termasuk memasang alat penggera kebakaran bagi mengurangkan risiko berlakunya kebakaran,” ujarnya.