Masyarakat dipelawa sertai Program Sukarelawan JKM

0

SRI AMAN: Masyarakat di sini dipelawa menyertai Program Sukarelawan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) atau lebih dikenali sebagai Briged Kebajikan Perdana (BKP) yang dikendalikan oleh jabatan berkenaan.

Pengerusi Briged Kebajikan Perdana (BKP) Bahagian Sri Aman Sharifah Ranimah Wan Hashim menjelaskan program ini diwujudkan untuk memberi peluang kepada masyarakat setempat menyumbang bakti mereka secara sukarela kepada masyarakat sekeliling.

“Sumbangan bakti itu bukan berbentuk wang ringgit, tetapi menerusi kerja-kerja kebajikan yang dianjurkan oleh pihak kami,” katanya ketika ditemui selepas Program Pengagihan Bubur Lambuk anjuran bersama Briged Kebajikan Perdana (BKP) Bahagian Sri Aman, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Bahagian Sri Aman dan Jawatankuasa Masjid Darul Syakirin, Kampung Muhibbah, Sri Aman di sini kelmarin.

Beliau yang juga penolong pengarah JKM Bahagian Sri Aman menjelaskan, menerusi program-program anjuran BKP ini, ahli-ahli sukarelawan turut berpeluang berkunjung sambil menemui para pelanggan menerusi program kebajikan di samping mendampingi mereka dengan konsep sentuhan hati ke hati.

“Apa yang kami mahu, agar pelanggan jabatan kami dapat merasai diri mereka disayangi oleh masyarakat sekeliling selain ahli keluarga mereka tersendiri.

“Ini sebenarnya objektif utama BKP ini diwujudkan selain untuk membawa ahli sukarekawan BKP melakukan kerja-kerja amal, malah mereka berpeluang menyelami masalah-masalah dihadapi,” ujarnya.

Menyentuh mengenai pengagihan bubur lambuk berkenaan, Sharifah Ranimah menjelaskan bahawa aktiviti itu merupakan aktiviti tahunan BKP Bahagian Sri Aman.

Katanya pada dua tahun lalu pihaknya menganjurkan program yang sama bersama dan ahli sukarelawan BPK dengan kakitangan Rumah Kanak-kanak Datuk Ajibah Abol, Sri Aman.

“Pada 2012, kami turut menganjurkan program memasak bubur pedas bersama masyarakat setempat di Kampung Hilir dan pada tahun ini kami beralih ke Kampung Muhibbah,” jelasnya.

Tambahnya, adalah menjadi harapan agar bubur yang dimasak dapat dinikmati oleh masyarakat setempat sebagai santapan berbuka puasa.

Hadir sama Penyelaras BKP Bahagian Sri Aman Mariam Ensabi, Penghulu Abdul Samad Abdul Rahim, Pengerusi Pengurusan Masjid Mas Rosli Mas Latif serta yang lain.

Pada majlis yang sama, beliau turut menyampaikan bungkusan bubur lambuk kepada 30 pelanggan JKM Sri Aman dari sekitar Kampung Muhibbah.

Dalam pada itu, menerusi program ini, pihaknya berjaya menghasilkan sebanyak 300 bungkus bubur lambuk yang diagihkan kepada penduduk kampung serta masyarakat sekitarnya.