3,000 ahli Bumiputera beri amaran keras kepada presiden SUPP

0

LAUNGKAN AMARAN: Shiling (tiga kanan) semasa bercakap pada sidang media di Sibu, semalam.

SIBU: Kira-kira 3,000 ahli Unit Bumiputera Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Cawangan Sibu membantah keputusan presiden parti itu yang mahu mengambil tindakan terhadap kem Pengerusi SUPP Cawangan Sibu Dato Sri Wong Soon Koh.

Ketua Unit Bumiputera SUPP Cawangan Sibu Andrew Shiling Banggit berkata, semua ahlinya menentang sekeras-kerasnya tindakan Presiden SUPP Tan Sri Peter Chin sekiranya beliau betulbetul mengambil sebarang tindakan terhadap kem Soon Koh.

“Kami seramai 3,000 ahli SUPP Unit Bumiputera Ca wangan Sibu akan terus berjuang untuk menegakkan keadilan dalam parti. Justeru kami menyokong semua ahli kem Soon Koh.

“Kami juga memberi amaran kepada presiden parti supaya jangan bertindak berani mengganggu walau salah seorang ahli kem Soon Koh.

“Semua ahli parti berbangsa Dayak juga bersatu dalam kem Soon Koh berhubung masalah terbabit,” ujarnya semasa sidang media di sini, semalam.

Beliau yang juga setiausaha politik Ketua Menteri memberitahu bahawa SUPP pada hakikatnya tidak mempunyai kuasa untuk mengendalikan apa-apa isu panas sekarang sebaliknya dibenarkan untuk menjalankan pentadbiran parti yang biasa bagi membolehkan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) menjalankan siasatan terhadap penyelewengan semasa mesyuarat parti yang lalu.

“Soon Koh akan terus menerajui Bumiputera dan kami kekal berdiri teguh bersamanya.

“Ini kerana ahli kem Soon Koh adalah tunjang kekuatan SUPP kerana rapat dengan rakyat di peringkat akar umbi, lebih-lebih lagi mereka adalah wakil rakyat yang dipilih oleh rakyat sendiri,” tegasnya.

Shiling menegaskan sekali lagi bahawa Jawatankuasa Kerja Pusat SUPP telah membawa kepada keruntuhan perdamaian dalam parti.

“Kenyataan Dr Jerip Susil tempoh hari adalah tepat dan kami menganggap kem Peter Chin tidak ikhlas dan bertindak mahu mengambil tindakan terhadap salah seorang ahli kem Soon Koh.

“Tindakan mereka ini (kem Peter Chin) telah merosakkan perpaduan dalam parti,” tambahnya.

Dalam laporan akhbar semalam, kem Soon Koh akan bersatu padu seandainya kem Peter Chin memecat salah seorang daripada mereka.