Kerajaan akan sentiasa berusaha membawa kemajuan kepada rakyat

0

SRI AMAN: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga Simoi Peri berkata, selaras dengan pembangunan yang pesat melanda pada masa kini, kerajaan sentiasa berusaha membawa kemajuan dan kesejahteraan kepada semua lapisan masyarakat di negeri ini, khasnya penduduk di kawasan luar bandar.

Menurutnya, usaha tersebut dapat dilihat melalui pelbagai program pembangunan yang telah, sedang dan akan giat dilaksanakan oleh kerajaan negeri untuk manfaat dan kesenangan rakyat.

Bagaimanapun katanya, usaha pembangunan kerajaan sukar dicapai dengan berkesan sekiranya rakyat tidak memanfaatkan sepenuhnya segala peluang dan kemudahan pembangunan yang telah disediakan.

“Keadaan ini sudah tentu akan merugikan kita dan boleh membantutkan kelicinan pelaksanaan projek-projek pembangunan di negeri ini,” katanya pada Majlis Penyampaian Sumbangan Hari Raya Aidilfitri kepada 74 fakir miskin dari Kampung Lingga di Masjid Al-Hana, Lingga pagi semalam.

Sehubungan itu katanya, kita tidak boleh lagi bersikap berdiam diri dan hanya mengharapkan segala bantuan dan subsidi daripada kerajaan sahaja. Sebaliknya, kita perlu berdikari, mempunyai inisiatif dan merebut segala peluang yang disediakan termasuk peluang dalam sektor perindustrian, perniagaan, teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), perladangan, pendidikan, pelancongan, perkhidmatan dan sebagainya.

Dalam konteks ini, kita harus berupaya memahami dan menerima perubahan serta idea-idea baharu dengan mengubah cara kita berfikir dan bekerja supaya tidak tercicir daripada arus pembangunan yang semakin pesat.

“Ini lebih-lebih lagi memandangkan kita harus mempersiap diri dengan pengetahuan kemahiran yang mencukupi mulai sekarang ke arah merealisasikan wawasan menjadi negara maju menjelang 2020,” ujarnya.

Hadir sama Temenggung Abang Bohari serta Pemanca Mas Shamsiah Maslem.