Konduktor bas ekspres maut tercampak keluar

0

GAMBAR diambil daripada facebook menunjukkan keadaan mengerikan di lokasi bas ekspres kemalangan di Kilometer 30, Jalan Semporna-Tawau kelmarin.

SEMPORNA: Seorang konduktor bas ekspres terbunuh dalam kemalangan di Kilometer 30, Jalan Semporna-Tawau di sini kelmarin.

Mangsa dikenali sebagai Mohd Azman Samsudin, 17, meninggal dunia serta-merta di tempat kejadian setelah dikatakan tercampak keluar daripada kenderaan terbabit yang terlibat kemalangan dengan dua bas lain, pada insiden jam 11.45 pagi itu.

Difahamkan, ketiga-tiga bas terbabit sedang dalam proses penghantaran kira-kira 90 pendatang tanpa izin (PTI) melalui jalan laut dari Semporna ke Bongau, Filipina.

Ketua Polis Daerah Semporna, Deputi Superitendan Firdaus Abdullah, berkata kemalangan dikatakan berlaku susulan jarak pemanduan tidak selamat dan terlampau dekat antara tiga bas sewa ekspres berkenaan.

Menurut beliau, ketika kejadian jalan berkenaan adalah jalan lurus dan tidak hujan.

“Bas ketiga dinaiki mangsa cuba mengelak sewaktu sebuah bas di hadapannya yang tiba-tiba perlahan sebelum melanggar tepi kanan belakang bas berkenaan.

“Impak daripada rempuhan itu, mangsa tercampak beberapa meter ke hadapan, lalu tersepit di bahagian pemandu sebelum mati di tempat kejadian,” katanya ketika dihubungi di sini kelmarin.

Bagaimanapun, kemalangan itu tidak mencederakan kesemua PTI dalam dua bas terbabit yang meneruskan perjalanan mereka selepas itu.

“Mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Semporna bagi tujuan bedah siasat sebelum dituntut oleh pihak keluarganya.

“Kita meminta orang yang melihat kejadian itu tampil membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.