KPDNKK pantau bekalan diesel bersubsidi

0

SANDAKAN: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) memantau bekalan diesel bersubsidi di negara ini dari semasa ke semasa bagi memastikan bekalan bahan itu sentiasa mencukupi di stesen-stesen minyak.

Menurut pihak KPDNKK, kekurangan bekalan diesel bersubsidi di beberapa kawasan tertentu adalah bersifat sementara.

Bagaimaapun, pihaknya memandang serius perkara itu dan telah mengambil langkah-langkah yang perlu bagi memastikan tidak berlaku kekurangan bekalan diesel bersubsidi di stesen minyak.

Pihak kementerian dalam jawapan kepada soalan dari Ahli Parlimen Batu Sapi, Datin Linda Tsen Thau Lin, ketika persidangan Dewan Rakyat di ibu negara baru-baru ini memberitahu bahawa antara langkah-langkah yang diambil termasuk akan mempertimbang permohonan tambahan kuota diesel sekiranya terdapat keperluan dan disokong dengan bukti-bukti dan justifikasi bagi menyokong permohonan itu.

Selain itu, KPDNKK juga akan bekerjasama dengan agensi-agensi penguatkuasaan lain dan syarikat-syarikat minyak dalam memantau dan memastikan bekalan diesel adalah mencukupi dan berterusan.

Kementerian berkenaan juga akan sentiasa melaksanakan pemantauan yang ketat untuk memastikan bekalan diesel di stesen minyak dinikmati oleh golongan yang layak.