Lelaki amuk bapa ditahan

0

KUCHING: Seorang lelaki dari Kampung Tupong Batu yang mengamuk dan cuba mencederakan bapanya ditangkap di kediamannya, semalam.

Lelaki berumur 29 tahun itu diberkas di kediamannya sekitar jam 11 pagi oleh sekumpulan polis Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis susulan laporan polis daripada bapanya.

Menurut sumber polis, suspek tiba-tiba mengamuk dan cuba menyerang bapanya menggunakan besi, tukul dan pisau namun sempat dielak dalam isiden sekitar jam 4.15 petang Ahad itu.

Bapa suspek yang berusia 52 tahun yang dalam ketakutan kemudiannya lari dari rumah tersebut untuk menyelamatkan diri.

Gagal mencederakan bapanya, suspek kemudian dikatakan bertindak memecahkan cermin kereta Perodua Kancil milik bapanya.

Difahamkan, suspek berkelakuan agresif sejak seminggu lepas.