Perangi `ah long’ habis-habisan

0

ABDUL Latif (kiri) menunjukkan antara iklan haram yang tertera nombor telefon ah long yang dirampas dalam operasi berkenaan baru-baru ini.

KOTA KINABALU: Pihak berkuasa akan berusaha habis-habisan untuk membanteras kegiatan peminjam wang tidak berlesen atau ‘ah long’ di negeri ini.

Ketua Unit Penguatkuasaan Bahagian Pemberi Pinjam Wang dan Pemegang Pajak Gadai cawangan Sabah, Superitendan Abdul Latif Ibrahim, berkata salah satu langkah diambil ialah menyerahkan lebih 20 nombor telefon ah long untuk dirujuk kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi dibatalkan talian.

“Setiap nombor yang tertera pada iklan-iklan haram itu akan diserahkan kepada SKMM negeri.

“Ini bertujuan untuk penyiasatan nama pendaftarnya sebelum talian ditamatkan serta-merta,” katanya sambil menambah, ianya adalah berdasarkan Seksyen 263 (2) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) bagi tujuan membatalkan nombor talian telefon iklan haram.

Menurut beliau, langkah proaktif berkenaan adalah insiatif Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KKBPKT) dengan SKMM pada tahun lepas.

“Tindakan ini secara tidak langsung mampu membanteras kegiatan ah long dari akar umbi yang menjadi ancaman kepada orang awam,” katanya dalam sidang media di pejabat Bahagian Pemberi Pinjaman Wang dan Pemegang Pajak Gadai Cawangan Sabah di Wisma Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kelmarin.

Mengulas lanjut, Abdul Latif berkata sebarang iklan daripada pemberi pinjam wang tanpa mendapat permit tidak pernah dibenarkan seperti termaktub dalam Seksyen 11 (1) Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 dan Peraturan 6, Peraturan-Peraturan Pemberi Pinjam Wang (Kawalan dan Pelesenan) 2003.

“Dalam operasi yang kita laksanakan baru-baru ini, lebih 30 iklan ditanggalkan di sekitar Inanam, Putatan dan Kota Kinabalu.

“Kita juga difahamkan bahawa iklan-iklan terbabit adalah bertujuan mendapatkan pelanggan khususnya menjelangnya perayaan Aidilfitri ini,” katanya.

Menurut Abdul Latif, berdasarkan rekod sebanyak 410 peminjam berlesen terdapat di negeri ini dengan lebih 100 daripadanya di Bandaraya Kota Kinabalu.

Katanya, syarat kadar faedah dengan cagaran adalah tidak melebihi 18 peratus setahun manakala dengan cagaran adalah sebanyak 12 peratus.

“Hasil siasatan mendapati sebanyak 60 peratus mereka yang meminjam daripada kumpulan ah long terdiri daripada wanita. Ia mungkin dilakukan atas desakan kehidupan, keluarga dan lain-lain,” katanya.