Tingkatkan kemahiran guru Tadika

0

MICHAEL menerima cenderakenangan daripada Paul (tiga kiri), turut kelihatan Chan (dua kiri).

KOTA KINABALU: Dewan Perniagaan dan Perindustrian Tionghua Kota Kinabalu (KKCCCI) mengalu-alukan apa juga kerjasama daripada Universiti HELP dalam usaha meningkatkan kemahiran guru-guru di tadika.

Presiden KKCCCI, Datuk Michael Lui berkata pihaknya sedia mendengar segala kerjasama daripada universiti itu dalam segala aspek.

“Kini KKCCCI mengurus tiga buah sekolah tadika Cina dan kami sedar bahawa pendidikan awal yang berkualiti adalah penting untuk generasi baru di masa akan datang.

“Oleh itu, kami mengalu-alukan sebarang kerjasama untuk meningkatkan kemahiran guru-guru tadika Cina ini demi meningkatkan kualiti pembelajaran kanak-kanak di tadika,” katanya ketika menerima kunjungan hormat dari Universiti HELP di sini kelmarin.

Beliau berkata, KKCCCI sedang mempertimbangkan segala kerjasama asalkan ianya memberikan faedah kepada komuniti Cina di Sabah.

Pihaknya komited dan akan terlibat dalam usaha meningkatkan kemahiran guru-guru tadika Cina dalam masa terdekat.

Sementara itu, Naib Canselor dan Presiden Universiti HELP, Datuk Dr Paul Chan berkata kerjasama itu penting dalam usaha meningkatkan kemahiran guru-guru di tadika Cina dan sekaligus mampu melahirkan murid-murid yang berkualiti di peringkat awal persekolahan.

“Kini kita hidup dalam keadaan ekonomi yang penuh dengan persaingan global dan bagi mempersiapkan kanak-kanak untuk menghadapi cabaran itu, sistem pembelajaran di peringkat awal perlu diberikan perhatian.

“Pendidikan ini penting dalam usaha memajukan ekonomi negara untuk lebih berdaya saing di peringkat global,” katanya.

Menurutnya, kerjasama itu juga satu pendekatan positif bagi menaiktarafkan lagi pendidikan dalam kalangan komuniti Cina di Sabah.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Universiti HELP, Datin Chan Low Yoke menegaskan bahawa terdapat satu keperluan untuk meningkatkan kemahiran para guru-guru tadika di negara ini.

Katanya, Universiti HELP bersedia untuk mengenakan yuran pengajian yang rendah kepada semua guru terbabit.

“Kami menawarkan yuran pengajian hanya RM20 ribu untuk tempoh dua tahun setengah, yuran untuk mendapatkan diploma ini adalah murah berbanding yang ditawarkan oleh institusi pengajian yang lain.

“Para guru juga boleh mendapatkan pinjaman daripada Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) bagi melengkapkan kemahiran yang diperlukan itu,” katanya.

Chan juga mencadangkan agar KKCCCI dapat menyumbangkan RM4,000 untuk setiap guru tadika Cina yang ingin meneruskan pengajian dengan perjanjian tertentu agar guru itu terus mengajar di tadika untuk tempoh dua atau tiga tahun selepas tamat pengajian.

Katanya, dengan bantuan itu, guru-guru hanya memerlukan pinjaman sejumlah RM16 ribu dengan PTPTN atau menggunakan wang sendiri.

“Universiti HELP akan membantu guru-guru untuk meningkatkan kemahiran pengajaran mereka dengan lebih berkualiti.

“Saya yakin guru lepasan universiti ini mampu melahirkan murid di peringkat awal yang lebih berkualiti dan berfikiran logik,” katanya.

Beliau juga menjelaskan bahawa guru-guru di sekolah tadika Cina wajib menguasai tiga bahasa iaitu Inggeris, Mandarin dan Bahasa Melayu atau mampu bertutur dalam Bahasa Melayu dan menguasai dua bahawa wajib itu.

“Untuk lebih berdaya saing, bahasa Inggeris adalah keutamaan memandangkan negara-negara Eropah kini lebih cenderung menggunakan bahasa Inggeris berbanding bahasa ibunda mereka dalam bidang ekonomi.

“Bidang diploma daripada Universiti HELP sudah ada di Sabah sejak awal tahun ini dan ianya dibuka kepada semua guru yang mengajar di sekolah Cina,” katanya.