Lagi tekanan kepada Presiden SUPP

0

SA’ATI: Chan (kiri) bersama ahli SUPP Sarikei yang lain melaungkan slogan parti secara bersama dan serentak.

SARIKEI: Seramai 200 ahli Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Cawangan Sarikei, juga telah sebulat suara membantah tindakan dan keputusan presiden parti itu yang mahu mengambil tindakan terhadap kem Pengerusi SUPP Cawangan Sibu Dato Sri Wong Soon Koh.

Jurucakap kumpulan tersebut yang juga merupakan Pengerusi Majlis Daerah Sarikei (MDS) Chan Pan Chan berkata, tindakan yang mahu diambil oleh Presiden SUPP Tan Sri Peter Chin terhadap anggota kem Soon Koh bukannya suatu tindakan yang bijak untuk mengatasi kekeruhan yang berlaku.

“Pada pendapat kami, tindakan tersebut hanyalah berat sebelah.

Apa yang kami inginkan ialah kedua- dua belah pihak (kem Peter Chin dan kem Wong Soon Koh) harus mengadakan perbincangan meja bulat untuk menyelesaikan masalah yang berlaku di kedua-dua belah pihak.

“Masa ini, perkara yang paling penting ialah menyatukan semula ahli SUPP yang telah terbahagi kepada dua kelompok serta mengembalikan semula keyakinan dan perpaduan ahli agar SUPP terus menjadi satu parti yang kuat.

“Sekiranya keadaan ini tidak diatasi dengan segera ia bakal membawa kemusnahan kepada parti.

“Tindakan presiden SUPP itu boleh memburukkan lagi keadaan,” kata Chan sewaktu Majlis Makan Malam Bersama Kem Wong Soon Koh, malam kelmarin.

Majlis berkenaan telah berlangsung di salah sebuah restoran, dekat sini.

Tetamu yang hadir pada majlis tersebut ialah ahli-ahli SUPP Cawangan Sarikei yang terdiri daripada beberapa ketua masyarakat seperti tuai rumah, kaunselor, penghulu dan kapitan.

Dalam ucapannya, Chan menegaskan bahawa sekarang adalah masa untuk membina semula SUPP terutama setelah mengalami beberapa kekalahan yang teruk pada siri pilihan raya yang lepas.

“Perkara inilah yang harus kita fikirkan semula dan bukannya meneruskan perbalahan.

“Sekiranya ia tidak diatasi, kita yakin pihak yang mendapat kesan daripada pertelingkahan ini adalah rakyat dan ahli yang menjadi tulang belakang kepada parti ini,” jelas Chan lagi.