Pembangkang akan bawa ‘pemain import’

2

SIBU: Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang bakal menyaksikan ramai ‘pemain import’ akan dibawa masuk ke negeri ini oleh parti pembangkang bagi menghadapi jentera Barisan Nasional (BN).

Pengerusi Tetap Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar berkata, ini berlaku kerana hanya Sarawak akan mengadakan pilihan raya pada masa tersebut.

Asfia yang juga speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) berkata demikian kepada pemberita selepas menyerahkan sumbangan kepada tujuh masjid dan 13 surau di Surau Darul Islam, Jalan Bandong kelmarin.

Surau Darul Islam baharu siap dibina dengan kos kira-kira RM1 juta.

Ditanya mengenai langkah bagi mengatasi kebanjiran ‘pemain import’ itu, beliau memberitahu negeri ini mempunyai undang-undang imigresennya yang tersendiri.

“Ini terpulang kepada kerajaan negeri mahu menggunakannya bagi memastikan sesiapa yang memasuki Sarawak menggunakan pas sosial tidak menyalah guna pas terbabit untuk memberi ceramah berunsur politik,” jelasnya.

Di samping itu, beliau juga yakin PBB akan terus mengekalkan rekod cemerlang pada PRN akan datang.

“Kita yakin kerana kita mempunyai barisan serta jentera yang kuat.

Bagi PBB, kita lebih kepada usaha membantu parti komponen BN yang lain,” jelasnya.

Pada PRN lepas, BN Sarawak memenangi 55 daripada 71 kerusi dengan PBB memenangi kesemua 35 kerusi yang ditandinginya.

Asfia juga memberitahu bahawa kekuatan dan sokongan terhadap BN kekal kukuh.

Terdahulu ketika berucap pada majlis itu, beliau menerangkan mengenai kepentingan bulan Ramadan kepada para hadirin.

Hadir sama pada majlis itu ialah Ahli Dewan Undangan Negeri Nangka Dr Annuar Rapa’ee serta yang lain