Umat Islam di negara ini perlu syukur tunai ibadah dalam aman

0

KUALA LUMPUR: Umat Islam di Malaysia perlu bersyukur kerana dapat menunaikan ibadah di bulan Ramadan dalam keadaan aman, berbanding beberapa negara Islam lain yang dilanda konflik dan sedang bergolak, kata isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor.

Beliau berkata, keamanan yang dinikmati ini adalah hasil pemerintahan yang mengutamakan kestabilan politik, ekonomi dan sosial dalam sesebuah masyarakat yang berbilang bangsa seperti Malaysia.

“Justeru, marilah kita mendoakan agar keamanan dan kesejahteraan yang dinikmati pada hari ini terus berkekalan untuk masa-masa yang akan datang,” katanya pada majlis sumbangan bantuan zakat Hari Raya Aidilfitri 2013 UMNO Bahagian Cheras kepada 450 penerima di sini semalam.

Turut hadir Ketua UMNO Bahagian Cheras Datuk Seri Syed Ali Alhabshee dan Pengarah Eksekutif Berjaya Corporation Berhad Datuk Zainah Musa.

Rosmah juga berharap amalan ibadah, termasuk bersedekah, berpuasa, membaca al-Quran dan solat berjemaah yang dilakukan pada bulan Ramadan akan dapat diteruskan pada bulan-bulan yang lain.

Beliau turut mengingatkan umat Islam supaya menyambut bulan Syawal dengan penuh kesederhanaan dan menghindari amalan yang membazir dan berlebih-lebihan.

“Bagi anak-anak yang mendapat duit raya, jangan terlalu lekas berfikir untuk membelanjakannya. Sebaliknya menabunglah untuk masa akan datang,” katanya.

Rosmah turut mengingat-kan mereka yang pulang ke kampung supaya tidak tergopoh-gapah semoga selamat tiba di destinasi masing-ma-sing.

Seorang penerima Orang Kurang Upaya penglihatan, Norlela Abdullah, 68, yang tidak bekerja dari Jalan San Peng, Cheras, amat bersyukur dengan sumbangan yang termasuk wang tunai RM150, beras, barangan makanan dan minuman serta pakaian untuk menyambut Aidilfitri, kerana ia dapat meringankan bebannya menyambut Aidilfitri tidak lama lagi.

Zainal Abidin Ahmad, 61, dari Projek Perumahan Rakyat Laksamana, Cheras yang tidak bekerja kerana sakit jantung, berkata sumbangan itu amat dihargai.

“Saya ada sakit jantung dan urat saraf, manakala isteri Nor Azniah Abu Hassan pula sakit di pinggul..tak dapat berjalan dan terpaksa duduk atas kerusi roda. Jadi sumbangan macam ini bagi kami sekeluarga amat besar maknanya. Sedikit seba-nyak dapat kami gunakan membeli keperluan yang penting untuk Aidilfitri,” katanya. — Bernama