Curi motosikal, tiga sekawan ditahan

0

JAUTEH menunjukkan antara motosikal yang berjaya dirampas dalam tangkapan suspek berkenaan.

KOTA KINABALU: Tiga sekawan ditahan polis setelah didapati terlibat dengan kegiatan mencuri tujuh buah motosikal di sekitar ibu negeri baru-baru ini.

Ketua Polis Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Jauteh Dikun berkata ketiga-tiga suspek lelaki yang berusia 19 hingga 22 tahun itu ditahan pada 22 Julai lepas di kawasan daerah Tuaran.

“Kita berjaya menahan tiga lelaki di beberapa kawasan Tuaran setelah mendapati mereka terlibat dengan kegiatan mencuri motosikal di sekitar ibu negeri sejak kebelakangan ini.

“Hasil daripada tangkapan itu berjaya membawa kepada penemuan tujuh motosikal yang dipercayai hasil daripada kegiatan curi mereka dan kebanyakan motosikal itu adalah jenis Honda Ex5,” katanya.

Kesemua yang ditahan kini disiasat mengikut Seksyen 379 A Kanun Keseksaan.

Sementara itu, Jauteh turut menasihatkan kepada masyarakat ramai untuk terus meningkatkan keselamatan kenderaan mereka bagi mengelak daripada menjadi mangsa jenayah.

“Terutamanya pengguna motosikal, kita ingin menasihatkan mereka agar lebih berhati-hati untuk meletakkan kenderaan anda dan elakkan daripada menarik perhatian penjenayah,” katanya.