Lapan beranak antara ditahan dalam serbuan dadah

0

KOTA KINABALU: Seramai 72 individu termasuk lapan beranak telah ditahan polis atas pelbagai kesalahan membabitkan penyalahgunaan dadah di sekitar ibu negeri baru-baru ini.

Ketua Polis Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Jauteh Dikun berkata kejayaan tangkapan itu adalah hasil daripada serbuan-serbuan bersempena Ops Tapis itu dilaksanakan dalam tempoh tiga hari sejak 19 hingga 22 Julai di beberapa kawasan termasuk Kampung Sembulan dan Kampung Lokub di Sepanggar.

Menurut beliau, dalam satu serbuan di Kampung Sinulihan, Inanam, pihaknya berjaya memberkas seorang bapa kepada lapan anak yang berusia 50an dan dipercayai mengedar dadah di kawasan berkenaan.

Difahamkan ketika serbuan, suspek yang juga merupakan bekas banduan itu termasuk enam anak lelaki berusia 17 hingga 20 tahun sedang membungkus dadah di kediaman mereka.

Isteri suspek juga dikatakan bertindak melarikan diri daripada rumah terbabit dengan beberapa bungkusan dadah namun berjaya ditangkap.

“Hasil serbuan ke atas mereka, kita telah berjaya menemui 11 gram dadah jenis syabu yang bernilai RM3,000.

“Pemeriksaan awal ke atas kediaman mereka, kita turut menemui beberapa botol dan plastik yang dipercayai digunakan bagi pembungkusan syabu berkenaan.

“Kesemua mereka ditahan mengikut Seksyen 39A Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu, Karamunsing di sini kelmarin.

Mengulas lanjut, Ops Tapis itu juga menyakiskan seramai 63 individu termasuk 15 wanita ditahan kerana positif dadah di beberapa lokasi terbabit termasuklah di premis-premis hiburan dan rumah.

“Antara yang ditahan adalah individu memiliki syabu seberat 0.04 gram dan lingkungan umur kesemua mereka adalah antara 17 hingga 50 tahun.

“Kesemua mereka disiasat mengikut seksyen 15 (1) dan 12A Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.