Seorang maut, pacuan empat roda terjerumus ke gaung

0

PASUKAN Bomba Sukarela Gugusan Felda Umas berkongsi rakaman gambar yang menunjukkan keadaan kemalangan yang berlaku di Batu 10 Jalan Kalabakan-Tawau.

TAWAU: Sebuah kenderaan pacuan empat roda terjerumus ke dalam gaung di Batu 10 Jalan Kalabakan-Tawau di sini pada jam 4.32 petang Khamis lepas yang mengakibatkan seorang mangsa maut, dua cedera parah dan dua lagi cedera ringan.

Menurut Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Awang Besar Dullah, mangsa yang maut adalah kanak-kanak perempuan berumur tiga tahun iaitu Norashika Yusuf yang tinggal di Kalabakan (semasa kejadian mangsa berada di kerusi penumpang belakang).

“Mangsa meninggal dunia semasa dihantar ke Hospital Tawau untuk menerima rawatan akibat mengalami kecederaan parah di bahagian dada dan kepala,” katanya kepada pemberita di sini kelmarin.

Beliau berkata, dua lagi penumpang yang masing-masing berada di bahagian kerusi penumpang hadapan dan belakang pula mengalami kecederaan parah di bahagian tangan dan kaki serta sedang menerima rawatan di Hospital Tawau.

Menurutnya, pemandu kenderaan Toyota Rush terbabit yang berusia 24 tahun pula sekadar mengalami kecederaan ringan di bahagian badan bersama seorang lagi penumpang yang turut berada di kerusi penumpang belakang sebelum kejadian terbabit menimpa mereka.

“Siasatan dibuka mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya sambil mengesahkan bahawa pemandu kenderaan terbabit turut ditahan selain menjalani ujian dadah serta alkohol.

Dalam perkembangan berasingan, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tawau, Rudy Fredzex berkata sebuah lagi kemalangan berlaku di kawasan Jalan Felda Umas melibatkan sebuah kereta jenis Perodua Myvi yang terbabas ke dalam parit.

Beliau berkata, pihak bomba menerima panggilan mengenai kejadian itu pada jam 5.55 petang dengan bantuan awal tiba pada jam 6.01 petang melibatkan sebuah jentera bomba, sebuah utiliti Pasukan Bomba Sukarela Gugusan Felda Umas dan seramai 12 anggota.

“Mangsa seorang wanita dan tidak mengalami sebarang kecederaan, namun sebagai langkah berjaga-jaga pihak kita yang menjalankan pemeriksaan susulan mencabut ‘kepala’ bateri kenderaan terbabit untuk memastikan tidak berlaku percikan api,” katanya.