Tiada halangan warta fatwa fahaman anti-Syiah: Daud

0

KUCHING: Kerajaan ne-geri tiada halangan untuk mewartakan fatwa fahaman anti-Syiah dalam usaha membanteras penularan fahaman tersebut di Malaysia.

Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam) Datuk Daud Abdul Rahman berkata, mewartakan perkara itu akan mengikut proses biasa memandangkan ia bukan isu besar di Sarawak.

“Tiada halangan untuk kita mewartakan fatwa fahaman anti-Syiah bagi membanteras penularan fahaman ini (Syiah).

“Mewartakan perkara ini akan mengikut proses biasa kerana ia bukan isu besar di Sarawak,” katanya ketika dihubungi semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom yang mahukan mana-mana kerajaan yang belum mewartakan fatwa anti-Syuah diminta segera berbuat demikian dalam usaha membanteras penularan fahaman itu di negara ini.

Beliau dipetik sebagai berkata, walaupun fatwa itu telah diwartakan di peringkat kebangsaan, kerajaan negeri perlu mewartakannya di peringkat negeri masing-masing supaya tindakan penguatkuasaan boleh dilakukan.

“Hal ehwal agama terpulang pada kuasa negeri dan pentadbiran negeri perlu berbincang dengan pihak berkuasa agama masing-ma-sing dan mewartakan fatwa itu,” ujar Jamil.

Dalam pada itu Daud menjelaskan, setakat ini tiada laporan membabitkan penyebaran fahaman Syiah berlaku di Sarawak.

“Memang belum ada sebarang laporan penyebaran fahaman ini (Syiah) di Sarawak,” jelasnya.

Beliau menambah, umat islam di negeri ini mempunyai pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah.

“Sebenarnya isu penyebaran fahaman Syiah bukan masalah besar bagi kita di Sarawak,” kata Daud.

Baru-baru ini Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengisytiharkan Pertubuhan Syiah Malaysia sebagai organisasi yang menyalahi undang-undang.