Toyota Hilux terbabas, kanak-kanak tiga tahun maut

0

KELIHATAN anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Ranau sedang memeriksa keadaan Toyota Hilux berkenaan sejurus nahas terbabit di Jalan Siwagu, berhampiran Kampung Masilau, Kundasang itu.

RANAU: Seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun terbunuh setelah kenderaan yang dinaikinya terbabit nahas di Jalan Siwagu, berhampiran Kampung Masilau, Kundasang dekat sini pagi kelmarin.

Dalam kejadian jam 7.30 pagi itu, difahamkan mangsa dikenali sebagai Fabian Wee meninggal dunia di Hospital Daerah Ranau setelah mengalami kecederaan di bahagian tengkuknya dalam kemalangan itu.

Difahamkan ketika kejadian mangsa bersama ibu dan lima lelaki yang duduk di bahagian belakang sedang dalam perjalanan menuju ke Pekan Kundasang dari Masilau menaiki pacuan empat roda Toyota Hilux.

Bagaimanapun setibanya di lokasi kejadian, kenderaan yang dinaiki mereka telah hilang kawalan sebelum terbabas dan merempuh pagar jambatan sungai di situ.

Ketua Polis Daerah Ranau, Deputi Superitendan Abdul Rahman Kassim berkata bagaimanapun kesemua penumpang yang lain tidak mengalami sebarang kecederaan serius di dalam kemalangan berkenaan.

“Hasil siasatan awal mendapati kenderaan mereka ketika itu sedang dalam perjalanan dari Masilau ke Pekan Kundasang sebelum hilang kawalan melalui satu selekoh menuruni bukit menyebabkan kenderaan itu terbabas dan melanggar hujung pagar jambatan sungai.

“Ketika insiden terjadi, terdapat lima orang penumpang duduk di belakang trak kenderaan yang dipandu ibu mangsa.

“Mangsa yang duduk di hadapan bagaimanapun mengalami kecederaan di bahagian tengkuk dan disahkan meninggal dunia di Hospital Daerah Ranau,” katanya.

Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.