Usah terpengaruh fahaman Syiah

0

SUMBANGAN RAMADAN: Fadillah merakamkan kenangan bersama wakil masjid dan surau di kawasan DUN Satok yang menerima sumbangan masing-masing, semalam.

KUCHING: Masjid dan surau mempunyai peranan penting untuk mendidik generasi muda agak tidak terpengaruh dengan fahaman Syiah yang sedang menular di Malaysia ketika ini.

Menteri Kerja Raya Datuk Fadillah Yusof berkata, disebabkan cetek pemahaman agama, mungkin ada di kalangan anak muda mudah dipengaruhi fahaman yang tidak bersesuaian dengan umat Islam di negara ini.

Justeru, menurutnya, usaha perlu dipergiatkan semua pihak termasuk pengurusan masjid dan surau agar generasi muda tertarik untuk berkunjung ke rumah ibadah dan pada masa sama, mudah untuk memberi penerangan kepada mereka.

“Saya berharap masjid dan surau memainkan peranan untuk mengadakan apa sahaja kegiatan yang dapat memberi kefahaman kepada masyarakat terutama generasi muda.

“Ia penting agar mereka (generasi muda) dapat diberi penerangan secara lebih terperinci tentang fahaman agama mereka dan pada masa sama, tidak mudah terpengaruh dengan fahaman Syiah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyampaian Sumbangan Ramadan untuk Masjid dan Surau Kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Satok di Surau Darul Qarar Kampung Temedak, semalam.

Pada majlis tersebut, sebanyak 10 buah masjid dan surau kawasan DUN Satok masingmasing menerima sumbangan RM1,000.

Mengulas mengenai perkara sama, Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam), Datuk Daud Abdul Rahman pada majlis berasingan berkata, Sarawak adalah bebas daripada anasir serta penyebaran ajaran Syiah kerana perpaduan masyarakat Islam di sini adalah amat baik.

Beliau berkata, pihaknya yakin Sarawak langsung tidak mempunyai penganut ajaran Syiah dan negeri ini adalah 100 peratus bebas daripada penyebaran ajaran tersebut.

“Kebanyakan rakyat Sarawak langsung tidak memahami maksud Syiah dan ia merupakan petanda baik,” ujar Daud ketika ditemui selepas Majlis Penyampaian Sumbangan Ramadan di Masjid At-Taqwa di Kampung Pinang Jawa, semalam.

Baru-baru ini Kementerian Dalam Negeri (KDN) menggesa agar semua negeri mewartakan fatwa anti-Syiah dalam usaha membanteras penularan fahaman tersebut di kalangan masyarakat di negara ini.

Negeri Kedah merupakan negeri yang pertama melaksanakan fatwa anti-Syiah setelah KDN mengisytiharkan Pertubuhan Syiah Malaysia sebagai pertubuhan yang menyalahi undang-undang berkuat kuasa kelmarin.

“Perpaduan masyarakat Islam di Sarawak adalah begitu baik sekali dan langsung tiada laporan mengenai anasir dari luar yang cuba atau sedang menyebarkan ajaran Syiah di sini.

“Adalah lebih baik jika rakyat di negeri ini tidak mengetahui mengenai ajaran Syiah kerana jika diketahui ia pasti menimbulkan isu dan berkemungkinan memecahbelahkan masyarakat,” jelas Daud.

Namun begitu, beliau memberitahu perkara tersebut akan tetap dikaji serta dibawa ke peringkat kabinet untuk dibincangkan sama ada terdapat keperluan untuk melaksanakan fatwa anti- Syiah.

“Semua isu halal dan haram serta pewartaan mesti dibawa untuk perbincangan di peringkat kabinet sebelum keputusan untuk melaksanakan sesuatu fatwa atau tidak diumumkan.

“Kita akan melihat terlebih dahulu bagaimana negerinegeri di Semenanjung melaksanakan fatwa tersebut sebelum membuat keputusan,” tambah Daud.

Beliau turut memberitahu, ia tidak bermakna kerajaan negeri tidak bersetuju dengan pelaksanaan fatwa anti- Syiah oleh negeri lain kerana Sarawak langsung tidak berdepan isu terbabit.

“Isu ajaran Syiah langsung tidak relevan di Sarawak jika dibandingkan dengan negerinegeri lain di Semenanjung di mana isu tersebut merupakan isu panas.

“Apa yang penting Sarawak adalah bebas daripada penyebaran serta anutan ajaran Syiah dan kita mahu ia kekal begitu,” kata Daud.