8 juta liter bekalan diesel bersubsidi ditambah di Sabah

0

KOTA KINABALU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) sekali lagi menambah bekalan diesel subsidi di Sabah sebanyak 8 juta liter pada bulan yang sama.

Timbalan Pengarah Pejabat KPDNKK Sabah, Suhaimi Mat Sari berkata penambahan bekalan itu hanya untuk kegunaan sehingga hujung bulan Julai sahaja.

“Untuk bekalan bulan Ogos depan, KPDNKK akan memberikan kuota baru berdasarkan keperluan yang dilihat pada bulan Julai dan juga musim perayaan,” katanya ketika dihubungi kelmarin.

Berkaitan dengan kenyataan oleh Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehawal Pengguna, Datuk Jainab Ahmad Ayid yang mencadangkan agar KPDNKK wujudkan satu Pusat Pengumpulan, Suhaimi menjelaskan hanya menteri di KPDNKK yang boleh membuat keputusan itu sebab ianya melibatkan dasar-dasar tertentu.

Sebelum itu, dalam satu dikeluarkan oleh KPDNKK di sini kelmarin, kementerian itu sentiasa peka akan keperluan diesel bersubsidi untuk keperluan masyarakat Malaysia.

Kementerian itu telah meluluskan kuota tambahan sebanyak 24,196,271 liter untuk seluruh negara dan penghantaran ke stesen yang mengalami keputusan bekalan sedang dilakukan oleh semua syarikat minyak.

Jumlah itu adalah tambahan kepada jumlah tambahan yang telah diluluskan sebelum ini sebanyak 25,787,500 liter.

KPDNKK menyatakan penentuan kuota diesel bersubsidi yang dilaksanakan oleh kementerian itu ialah dengan memperuntukkan setiap syarikat minyak dengan sejumlah kuota bulanan dengan berdasarkan kepada trend penggunaan diesel.

Walau bagaimanapun, sekiranya terdapat keperluan tambahan, pihak KPDNKK dengan kerjasama Kementerian Kewangan sentiasa mempertimbangkan permohonan tambahan itu.
Keperluan diesel yang meningkat secara mendadak itu adalah di luar jangkaan pihak kementerian dan syarikat-syarikat minyak sendiri.
Semua stesen yang mengalami keputusan bekalan dijangka akan mendapat bekalan kelmarin juga atau selewat-lewatnya hari ini.
Kementerian berharap tindakan segera yang diambil oleh pihak kementerian dengan kerjasama semua syarikat minyak akan dapat mengatasi masalah kekurangan bekalan diesel.