Kekurangan bekalan air penduduk Tatau kritikal akibat pencemaran

0

BERATUR: Orang ramai berpusu-pusu mendapatkan bekalan air bersih yang diagih JKR berikutan bekalan air bersih dihentikan sementara penyalurannya.

BINTULU: Penduduk di daerah kecil Tatau menghadapi masalah kekurangan bekalan air yang kritikal sejak empat hari lalu berikutan punca air mentah dari Sungai Sap yang ditapis di Loji Bekalan Air Tatau tercemar.

Menurut sumber Jabatan Kerja Raya (JKR), loji utama penapisan air ditutup sejak 26 Julai lalu dan hanya akan dibuka semula setelah sampel ujian air disahkan positif oleh Jabatan Kimia di Kuching.

Jurutera JKR Bahagian Wisil Lichok ketika dihubungi berkata keputusan sampel air berkenaan akan diketahui hari ini (30 Julai).

“Kami percaya bahawa pencemaran berlaku berikutan penemuan bangkai ikan yang terapung di sungai terbabit pada 26 Julai lalu sekitar jam 5 petang dan loji terbabit segera ditutup untuk langkah-langkah keselamatan,” katanya.

Jelasnya, sekitar jam 7 malam laporan polis dibuat berhubung perkara ini dan kemudiannya sampel air tercemar itu dihantar ke Jabatan Kimia dan Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar Sarawak (NREB) turut dimaklumkan mengenai perkara itu semalam.

Katanya hasil ujian air yang dikeluarkan hari ini akan menjawab segala kontroversi berhubung masalah pencemaran air yang berlaku di sumber utamanya di Sungai Sap.

“Saya memohon maaf kepada penduduk setempat berikutan kesukaran yang terpaksa dihadapi oleh penduduk di kawasan Tatau, berhubung insiden pencemaran air yang berlaku ini,” ujarnya.

Bagaimanapun katanya, pihak JKR buat masa sekarang bekerjasama dengan Pejabat Daerah Tatau bagi mengagihkan keperluan air bersih yang diperolehi dari Loji Rawatan Air Sangan.

Salah seorang penduduk tempatan yang enggan namanya didedahkan, berkata insiden air tercemar ini menimbulkan kesulitan kepada penduduk di kawasan Tatau khususnya yang bergiat dalam perindustrian dan perniagaan.

“Masalah ini menyebabkan pengusaha kedai makanan dan minuman terjejas dengan teruk kerana bekalan air ditutup, di samping masyarakat awam yang was-was dengan tahap kualiti menu yang disediakan sama ada selamat dimakan atau tidak,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berharap pihak bertanggungjawab segera menyelesaikan masalah bekalan air bersih yang tercemar itu secepat mungkin bagi keselesaan penduduk setempat yang bergantung sepenuhnya kepada sumber air bersih itu.