Pemandu bas ekspres dipantau

0

Pegawai penguat kuasa JPJ akan jadi pelanggan bagi setiap perkhidmatan bas ekspres

KUCHING: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) melaksanakan penguatkuasaan terhadap perkhidmatan bas ekspres di negeri ini sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri bagi memastikan ia dalam keadaan baik dan selamat untuk bergerak jauh sekali gus mengekalkan rekod Sarawak sebagai sifar kemalangan maut membabitkan bas ekspres semasa musim perayaan.

Pengarah JPJ Sarawak Ibrahim Othman berkata antaranya ialah strategi penyamaran oleh pegawai penguat kuasa JPJ sebagai orang awam yang akan menjadi pelanggan bagi setiap perkhidmatan bas ekspres. “Pegawai JPJ akan berpakaian biasa seperti orang awam dan mereka akan menaiki setiap perjalanan bas ekspres dan memantau serta merekod sikap pemandu.

“Jika pemandu didapati melakukan kesalahan misalnya menggunakan telefon bimbit ketika sedang memandu, apabila sampai di terminal maka dia (pemandu) akan disaman,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Program Perjumpaan JPJ Bersama Pengusaha dan Pemandu Bas Ekspres sempena Penguatkuasaan Hari Raya Aidilfitri 2013, di Terminal Bas Kuching Sentral, di sini semalam.

Selain itu, Ibrahim berkata JPJ juga akan menempatkan pegawai secara tetap di setiap terminal iaitu di Kuching, Miri, Sibu dan Bintulu untuk memantau aktiviti penjualan tiket haram.

Dalam pada itu, katanya JPJ turut menempatkan pegawai daripada Bahagian Kejuruteraan Automotif di terminal-terminal tersebut untuk menjalankan pemeriksaan terhadap bas terutama pada bahagian tayar dan brek.

“Sekiranya didapati kenderaan tidak sesuai untuk bergerak, mereka (pegawai JPJ) boleh membatal atau menangguhkan perjalanan,” katanya. Ibrahim menambah, JPJ juga akan bekerjasama dengan Agensi Antidadah Kebangsaan untuk mencegah penyalahgunaan dadah di kalangan pemandu.

Amaran keras turut ditujukan oleh Ibrahim terhadap perkhidmatan bas ekspres di setiap terminal yang didapati gagal mematuhi jadual perjalanan di mana kesalahan tersebut akan dikenakan kompaun.

Di samping itu, beliau berkata penguatkuasaan turut akan membabitkan operasi di segenap laluan yang telah diisytiharkan kawasan kerap berlaku kemalangan iaitu di Kuching (Jalan Kuching-Serian: KM11.2-KM24), Sarikei (Jalan Bukit Sebangkoi: KM19-KM25), Jalan Oya, Sibu: KM9.6-KM20.8) serta Bintulu (Jalan Kidurong: KM6-KM26).

Sementara itu, Ibrahim berkata Ops Hari Raya Aidilfitri 2013 juga akan diadakan di seluruh negeri bermula 1 hingga 18 Ogos.

Selain itu, katanya JPJ telah melaksanakan Pra Ops Hari Raya Aidilfitri 2013 dari 25 hingga 31 Julai ini. Beliau menambah, Ops Khas Motosikal turut diadakan pada 28 Julai, 3 dan 17 Ogos.

“Seramai 184 anggota JPJ Sarawak akan terlibat dalam operasi penguatkuasaan bagi memantau perjalanan kira-kira 400 bas ekspres sempena Hari Raya Aidilfitri ini,” katanya.