Polis rampas 175 set mesin perjudian siber

0

ROBERT (kiri) bersama set komputer yang dirampas. Turut kelihatan Lee (tengah) dan Azizi.

KENINGAU: Polis merampas 175 buah set mesin perjudian siber dalam 17 serbuan yang diadakan bagi tempoh tujuh bulan pertama tahun ini, kata Ketua Polis Daerah, Deputi Superitendan Robert Salisip @David di sini kelmarin.

“Polis juga berjaya menangkap 18 lelaki berumur 18-45 tahun dan merampas wang tunai RM2,450 dalam serbuan itu,” katanya memberitahu sidang media di pejabat Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah di sini.

Katanya, tahun lalu, polis berjaya membuat 29 serbuan dan pemeriksaan, dan daripada itu, tujuh serbuan berjaya menangkap 18 orang dan 86 rampasan set perjudian mesin siber serta wang tunai RM1,525.

Robert berkata, operasi itu akan dijalankan berterusan dalam usaha membanteraskan kegiatan perjudian siber yang dijalankan secara haram.

Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 4B (a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan jika sabit kesalahan boleh didenda RM10,000 hingga RM100,000 bagi setiap mesin dan penjara lima tahun.

“Saya menasihatkan orang ramai agar mengelakkan daripada terlibat dalam perjudian siber kerana ia bertentangan dengan undang-undang.

“Kita juga meminta mereka yang ada maklumat berhubung kegiatan ini supaya menyalurkan kepada polis agar tindakan tegas dapat diambil,” katanya.

Hadir sama di sidang media itu ialah Ketua Jabatan Siasatan Jenayah, ASP Lee Nyuk Kim dan Pegawai Penyiasat, Inspektor Azizi Abdul Rahman.