Tiga kasino haram lumpuh di Penampang

0

RATAN menunjukkan antara unit komputer yang berjaya dirampas dalam tiga serbuan terbabit.

PENAMPANG: Polis berjaya melumpuhkan tiga kasino haram membabitkan 48 unit komputer berunsur perjudian dirampas dalam beberapa serbuan di daerah Penampang baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superitendan Ratan Kumar Singh berkata dalam tiga serbuan sepanjang tempoh 25 hingga 28 Julai lepas, pihaknya turut berjaya menahan seramai 18 individu termasuk lima wanita yang dipercayai petugas siber di premis-premis terbabit.

“Kita dapat merampas sebanyak 48 komputer berunsurkan aktiviti judi selain wang tunai berjumlah RM560 yang dipercayai hasil kegiatan haram itu dalam ketiga-tiga serbuan berkenaan tempoh hari.

“Sebanyak 18 individu yang berusia 18 hingga 36 tahun termasuk lima wanita dipercayai petugas di siber-siber itu turut ditahan bagi membantu siasatan,” katanya pada sidang media di sini kelmarin.

Kesemua ditangkap dan rampasan kini di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang mengikut Seksyen 4B (a) Akta Rumah Perjudian Terbuka 1953,” katanya.