Individu berumur 40 tahun ke bawah dipelawa sertai Anugerah Hijau 2013

0

PUTRAJAYA: Individu berumur 40 tahun ke bawah di negara anggota ASEAN dipelawa menyertai pertandingan Anugerah Hijau anjuran Dewan Perniagaan Malaysia-China (MCCC) dan Akademi Kejuruteraan & Teknologi ASEAN (AAET) 2013.

Pengerusi penganjur pertandingan itu, Kerk Loong Sing berkata pencalonan bermula semalam sehingga 31 Ogos ini.

Beliau berkata pertandingan itu untuk memberi pengiktirafan terhadap usahawantekno muda dan pihak yang menyumbang terhadap pertumbuhan hijau di rantau ASEAN yang mementingkan alam sekitar dan menggalakkan pembangunan lestari.

“Selepas kejayaan menganjurkan anugerah Hijau pada 2011 dan 2012, MCCC memutuskan menjadikan anugerah ini acara tahunan dengan kerjasama AAET bagi tahun ini,” katanya pada sidang media selepas pelancaran anugerah itu oleh Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri G.Palanivel di sini semalam.

Katanya, pertandingan membabitkan enam kategori iaitu mengurangkan pengeluaran gas rumah hijau/meningkatkan kualiti udara, melindungi sumber tanah/air dan biodiversiti, meminimumkan sisa, usahawan/pengurus hijau, menggalakkan konsep hijau atau kelestarian alam sekitar dalam media dan tindakan komuniti untuk alam sekitar: sukarelawan dan anggota organisasi bukan untuk mengaut keuntungan.

Butiran lanjut pertandingan boleh didapati di laman web sekretariat www.mcccaaetgreenaward.com dan borang pencalonan dalam bahasa Inggeris boleh dihantar menerusi e-mel, faksimili atau pos dalam format digital atau bercetak ke Sekretariat AAET, No 40, Jalan 2/109E, Desa Business Park, Taman Desa, Jalan Klang, Lama atau hubungi talian 03-79838088 atau faks 03-79800939 atau e-mel [email protected].

Keputusan pertandingan akan diumumkan pada 29 Okt dan setiap pemenang dari setiap negara ASEAN akan menerima USD1,000 dan trofi manakala seorang pemenang keseluruhan akan menerima USD5,000 dan trofi dan tempat kedua dan ketiga, masing-masing akan menerima USD3,000 dan USD2,000.

Sementara itu, Palanivel berkata menerusi pertandingan itu, sebarang idea baharu daripada usahawantekno muda berbakat dari seluruh rantau ASEAN akan dipromosikan.

“Saya fikir pertandingan ini juga akan menjadikan Malaysia lebih hijau, lebih sihat dan tempat lestari untuk generasi akan datang, ini kerana Malaysia boleh melaksanakan dan memastikan pertumbuhan teknologi hijau dalam negara,” katanya. — Bernama