Jabatan kerajaan perlu tubuh unit integriti: SPRM

0

Pekeliling sudah dikeluarkan JPA dan jabatan perlu patuh

KOTA BAHARU: Semua jabatan kerajaan perlu menubuhkan unit integriti masing-masing bagi memastikan kakitangan mereka terdidik dengan nilai murni dan menjauhi rasuah, kata Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pengurusan dan Profesionalisme) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Zakaria Jaffar.

Beliau berkata pekeliling mengenai penubuhan unit berkenaan di semua sektor kerajaan itu telah dikeluarkan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan perlunya jabatan mematuhinya.

“SPRM melalui Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA) sedia membantu semua jabatan itu dalam usaha memastikan unit berkenaan benar-benar memberikan impak berkesan terhadap tanggungjawab kakitangan kerajaan terhadap tugas dan tanggungjawab sebenar untuk organisasi dan negara.

“Saya rasa semua jabatan telah sedia maklum mengenai pekeliling itu dan ini untuk kebaikan kepada negara akhirnya,” katanya ketika berucap pada Majlis Berbuka Puasa dan Pelancaran Laporan Tahunan MACA 2012 di Kompleks SPRM Kelantan di sini kelmarin.

Turut hadir Pengarah MACA Datuk Abdul Wahab Abdul Aziz dan Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan Kelantan Datuk Makhtar Mustapha, ketua-ketua jabatan dan anak yatim daripada Rumah Balkis.

Zakaria berkata peranan SPRM adalah sangat jelas seperti dalam pekeliling itu yang bertanggungjawab melaksanakan penarafan risiko agensi bagi menetapkan model Unit Integriti yang bersesuaian.

Sementara itu buat pertama kalinya sejak diwujudkan kira-kira tujuh tahun lalu, MACA melancarkan laporan tahunannya bagi tahun lalu sebagai satu rujukan awam.

“Usaha penghasilan laporan tahunan ini merupakan satu inisiatif yang diambil MACA untuk mendokumenkan peristiwa-peristiwa yang telah berlaku sepanjang tahun lalu untuk bacaan umum dan sekali gus sebagai sumber rujukan untuk semua sama ada sektor awam, swasta mahupun pelajar,” katanya.

Beliau berkata penerbitan laporan itu merupakan satu kebanggaan kepada SPRM kerana ia merupakan dokumen sejarah yang merekodkan komitmen warga MACA dalam menyediakan ruang pembelajaran dan pembangunan untuk meningkatkan pembinaan keupayaan modal insan. — Bernama