Amal sedekah harus dilakukan sepanjang masa

0

SERONOK: Seorang penerima OKU begitu ceria ketika menerima sumbangan daripada Fatimah (dua kanan), Dennis (kanan) dan yang lain pada majlis tersebut.

MIRI: Bersedekah sebagai satu amal ibadah harus dilakukan sepanjang masa, bukannya pada bulan Ramadan sahaja.

Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga Datuk Fatimah Abdullah berkata, amalan itu harus diteruskan walaupun bulan mulia berkenaan telah berlalu.

“Janganlah senyap dan sunyi sahaja ketika setelah melewati bulan Ramadan, tidak ada apa-apa program,” katanya pada Majlis Sejambak Kasih Hari Raya anjuran Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Miri dan Hotel Dynasty di sini, semalam.

Namun demikian, Fatimah berkata, beliau faham bahawa sektor korporat, badan bukan kerajaan dan individu akan memperbanyakkan amalan bersedekah kepada golongan sasaran yang tidak berkemampuan untuk aktiviti berbuka puasa, membeli- belah barang keperluan, memberi duit raya serta keperluan Hari Raya dan sebagainya ketika bulan Ramadan.

Sementara itu, beliau memberitahu kerajaan sama ada di peringkat pusat ataupun negeri tidak pernah melupakan golongan berkenaan dari segenap aspek.

Malah, katanya, masyarakat yang memerlukan bantuan sentiasa diutamakan kerana mereka juga menyumbang kepada pembangunan dan kemajuan negara.

“Sama ada golongan miskin mahupun orang kurang upaya (OKU), kerajaan akan sedaya upaya membantu mereka untuk menjalani kehidupan yang lebih baik,” jelas Fatimah.

Kerajaan, menurutnya lagi, akan turut mengemas kini bantuan yang disalurkan, misalnya Skim Bantuan Am untuk orang berkelayakan yang disemak semula dan dinaikkan kepada RM150 daripada RM60 berkuat kuasa bulan ini.

Kata Fatimah lagi, pihaknya juga sedang giat mendaftar pihak OKU untuk mendapatkan bantuan wang bulanan mengikut kelas yang ditetapkan.

“Ini termasuklah bantuan RM300 untuk pesakit OKU terlantar, RM150 untuk OKU tidak terlantar manakala RM300 untuk OKU yang bekerja,” jelasnya.

Pada majlis berkenaan, seramai 85 penerima menerima hamper berupa barangan keperluan untuk sambutan Hari Raya Aidilfitri serta duit raya.

Turut hadir pada majlis itu ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telang Usan Dennis Ngau, Pengarah JKM Sarawak Noriah Ahmad dan Pengarah Hotel Dynasty Tony Pui.