JAKIM dirujuk berhubung kes video raya bersama anjing: Shabery

0

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) akan merujuk kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sebelum membuat keputusan berhubung kes penyebaran video ‘1 Hari Di Hari Raya’ baru-baru ini yang dianggap menghina Islam.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Shabery Cheek berkata, pandangan dan nasihat JAKIM diperlukan bagi memutuskan sama ada video itu mencemar kesucian agama Islam.

“Sekiranya JAKIM mendapati video itu menyentuh sensitiviti agama, maka SKMM akan buat keputusan supaya kes itu diserahkan kepada peguam negara,” katanya kepada pemberita selepas meyaksikan majlis menandatangani perjanjian kerjasama antara TM Net Sdn Bhd dan Astro Malaysia Holdings Berhad di sini.

Turut hadir Pengerusi SKMM Datuk Mohamed Sharil Tarmizi.

Polis kelmarin menahan Maznah Mohd Yusof, 38, selepas didakwa membuat video kontroversi menyambut Hari Raya bersama tiga ekor anjing dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 298A Kanun Ke-seksaan.

Maznah dipercayai individu yang memuat naik video itu tiga tahun lepas di YouTube.

Rakaman video selama 1 minit 44 saat itu, memaparkan seorang individu membawa tiga ekor anjingnya bersiar-siar dekat pekarangan masjid dengan menggunakan suara latar Takbir Raya.

Video itu turut menunjukkan individu itu yang memakai baju Melayu hitam membasuh kaki anjingnya, kemudian seolah mengambil wuduk dengan membasuh kakinya pula dan mengelap anjingnya sebelum menyediakan kuih raya untuk tiga ekor anjing itu.

Video itu juga menyiarkan kata-kata ‘Raikanlah Aidilfitri bersama-sama, tanpa mengira spesies, warna dan asal-usul (dengan menunjukkan gambar tiga anjing itu).’

Maznah kini direman dua hari hingga esok di Ibu Pejabat Polis Daerah Segamat, Johor setelah diambil keterangan di Bukit Aman kelmarin.

Selain itu, Shabery berkata SKMM telah pun merekod kenyataan Maznah dan siasatan masih dijalankan untuk mengetahui niat sebenar individu itu membuat video berkenaan.

“Banyak pandangan berbeza yang kita terima berhubung kes ini, jadi siasatan perlu dijalankan,” katanya. — Bernama