KDN pandang serius 28,739 MyKad masih belum dituntut

0

SIBU: Kementerian Dalam Negeri (KDN) memandang serius 28,739 MyKad yang masih belum dituntut di Jabatan Pendaftaran Negeri (JPN) sejak tahun 2010 hingga Julai 2013.

Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, Kuching mencatatkan rekod tertinggi dengan 6,610 MyKad masih belum dituntut.

“Ini diikuti dengan Sibu yang mencatatkan rekod kedua tertinggi dengan 4,318 MyKad masih belum dituntut dan Bintulu dengan 3,812,” jelasnya.

Sehubungan itu, Wan Junaidi berharap pemohon MyKad segera menuntut MyKad yang telah siap diproses di JPN kawasan masing-masing.

“Ini penting kerana MyKad menunjukkan kerakyatan kita sebagai warganegara Malaysia. MyKad amat diperlukan dalam segala urusan yang berkaitan.

“Oleh itu, pentingnya kita menuntut MyKad yang telah siap diproses di JPN bagi mengelakkan sebarang masalah lain berlaku,” ujar beliau.

Wan Junaidi berkata demikian ketika ditemui pemberita pada lawatan kerja ke Sibu untuk meninjau keadaan keselamatan dan jenayah serta kemudahan polis di seluruh negeri, semalam.

Hadir sama ialah Ketua Polis Daerah Sibu ACP Shafie Ismail.

Katanya lagi, JPN telah cuba menghubungi pihak pemohon bagi menuntut MyKad mereka, namun disebabkan pergerakan pemohon MyKad yang berpindah tempat tinggal atas faktor kerja telah menyukarkan pihaknya.