Kekurangan anggota polis diatasi

0

SIBU: Kerajaan merekrut 4,000 anggota baharu setiap tahun bagi mengatasi masalah kekurangan anggota polis dalam usaha menangani jenayah di negara ini.

Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, kerajaan mempunyai kapasiti dan pusat latihan polis yang mencukupi untuk melatih anggota baharu.

“Saya telah dimaklumkan bahawa latihan singkat yang dahulu mengambil masa tiga bulan adalah tidak mencukupi untuk melatih mereka menjadi pegawai yang berkemampuan menjalankan tugas.

“Maka, latihan singkat tiga bulan itu telah dipanjangkan tempoh selama enam bulan,” ujarnya kepada pemberita pada lawatan kerja di Ibu Pejabat Polis Daerah Sibu, semalam.

Hadir sama Ketua Polis Daerah Sibu ACP Shafie Ismail.

Wan Junaidi berkata, secara purata seramai 1,500 anggota polis berkhidmat bersara setiap tahun.

Sehubungan itu, beliau menyeru masyarakat tanpa mengira kaum, bangsa dan agama agar menyertai pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan berganding bahu memerangi jenayah.

“Terdapat segelintir masyarakat yang masih menjauhkan diri untuk memasuki PDRM. Saya menyeru agar masyarakat menyertai pasukan PDRM agar kita dapat bersama-sama memastikan keamanan negara,” ujarnya.

Mengulas mengenai kadar jenayah di bandar utama, Wan Junaidi menyifatkan kadar jenayah di empat bandar utama iaitu Kuching, Sibu, Miri dan Bintulu secara keseluruhannya menurun.

“Oleh itu, saya menyeru agar polis lebih kreatif dalam menangani masalah jenayah di samping sokongan Pasukan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dalam menjalankan konsep kepolisan bersama pihak polis,” jelasnya.

Dalam perkembangan lain, Wan Junaidi berkata, beliau berbincang dengan Menteri Dalam Negeri untuk memberi tumpuan terhadap pembangunan kemudahan polis perlu dipertingkatkan di seluruh negara.

“Saya melakukan sesi lawatan bagi melihat sendiri keadaan pembangunan kemudahan polis di seluruh negara. Apa yang boleh dikatakan, kemudahan polis perlu dipertingkatkan bagi memenuhi keperluan tugas anggota polis yang semakin mencabar pada masa sekarang.

“Saya telah memohon kepada Pesuruhjaya Polis Sarawak agar membuat laporan penuh mengenai keadaan kemudahan polis yang kritikal dan perlu diambil tindakan berserta rakaman gambar.

“Ini bagi membolehkan pihak kementerian dan kerajaan pusat melihat perkara ini secara menyeluruh supaya penambahbaikan dapat dilakukan,” katanya lagi.

Sementara itu, Wan Junaidi berkata beliau akan berbincang dengan Ketua Setiausaha Negara berhubung pemberian Pingat Jasa Malaysia (PJM) kepada anggota polis yang berkhidmat pada zaman darurat.

Beliau berkata, pemberian PJM dilihat wajar sebagai tanda penghargaan kepada anggota polis yang berkhidmat pada zaman darurat demi mempertahankan keselamatan negara.

“Secara prinsip, pihak kementerian telah bersetuju dan hanya yang tinggal mesyuarat dengan Ketua Setiausaha Negara untuk memuktamadkan permohonan ini,” jelasnya.

Katanya lagi, seramai 149,000 anggota polis yang berkhidmat pada zaman darurat adalah layak menerima PJM atas sumbangan dan bakti mereka kepada negara.

“Setakat ini, kita melihat anggota tentera menerima PJM atas sumbangan dan bakti ketika berkhidmat pada zaman darurat. Saya berharap anggota polis yang berkhidmat pada zaman darurat turut menerima penghargaan yang sama,” ujar beliau.

Pada majlis yang sama, Wan Junaidi menyampaikan bantuan penghargaan RM1,000 dan RM3,000 masing-masing kepada anggota polis yang telah bersara.