Pendekatan mesra rakyat tangani isu pendaftaran lewat

0

MIRI: Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan mengambil pendekatan lebih mesra rakyat, yang melibatkan wakil rakyat, pemimpin masyarakat dan pihak pengurusan sekolah untuk menjayakan program ‘outreach’ bagi menangani isu ketiadaan surat beranak dan kad pengenalan.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Dr Wan Junaidi Tunku Jaafar berkata melalui penyertaan wakilwakil rakyat khususnya bagi kawasan pedalaman, maka program berkenaan dapat diperluaskan dengan lebih jauh lagi bagi mengesan kes-kes pendaftaran lewat oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) di konstituensi masingmasing.

“Ini kerana wakil-wakil rakyat ini lebih memahami dan peka dengan situasi kawasan mereka hingga ke peringkat akar umbi dan kami (KDN) bergantung kepada mereka untuk melakukan pendaftaran bergerak melalui unit tersebut (Unit Pendaftaran Bergerak),” katanya.

Wan Junaidi berkata demikian semasa sesi taklimat oleh KDN yang diikuti dengan majlis berbuka puasa anjuran KDN yang dirasmikan oleh Menteri Tugas-tugas Khas di Pejabat Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem bertempat di hotel terkemuka di sini, kelmarin.

Pada sidang medianya yang diadakan sebelum itu, Wan Junaidi berkata masalah pendaftaran lewat bagi anak-anak yang belum berdaftar ini amat penting kepada KDN kerana ia membabitkan masalah sosial pada masa hadapan.

“Kita tidak mahu ini (masalah sosial) berlaku.

Ibu bapa orang Malaysia tetapi anak-anak tidak mempunyai surat beranak, akhirnya tidak mendapat MyKad.

Tiada MyKad bermakna tidak dapat bersekolah dan tidak mendapat bantuan kerajaan dan sebagainya kerana ia tidak wujud di Malaysia.

“Seseorang yang tidak berdaftar kelahirannya, adalah seseorang yang ‘tidak wujud’ secara rasminya di tanah air ini,” katanya lagi.

Wan Junaidi berkata, perkara tersebut jika tidak diatasi dengan segera boleh menjadi masalah sosial yang teruk pada masa hadapan kerana golongan tersebut akan menjadi masyarakat yang tiada pendidikan, pekerjaaan dan bantuan daripada kerajaan.

Ini kerana, katanya, pada masa hadapan hanya orang yang pandai, berpendidikan dan berkelulusan tinggi sahaja yang dapat pekerjaan, kemudahan dan bantuan daripada kerajaan, sebaliknya tidak bagi mereka yang tidak memiliki MyKad.

“Perkara inilah yang perlu dimaklumkan kepada wakil-wakil rakyat di negeri ini dan saya berbangga kerana ada lebih 30 orang wakil rakyat yang datang dan kebanyakan mereka dari kawasan pedalaman,” ujar beliau.

Katanya, maklum balas wakil-wakil rakyat di negeri ini yang amat memberangsangkan menunjukkan kepekaan mereka dalam menangani masalah seperti itu khususnya di pedalaman.

“Tetapi ini bukan masalah pedalaman semata-mata, malah di bandar juga berlaku dan ia bukan sekadar masalah orang Iban, Bidayuh, Melayu, Cina dan sebagainya, sebaliknya ini adalah masalah rakyat Sarawak dan juga masalah negara kerana ia turut berlaku di Sabah dan negeri-negeri di Semenanjung (Malaysia),” tambahnya.