Umat Islam diseru kekal perpaduan

0

LUNDU: Umat Islam di kawasan Tanjong Datu diingat agar mengekalkan perpaduan yang sedia terjalin demi kemajuan masa depan.

Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri Bujang Helmi Hazmi berkata, kepimpinan masjid dan surau memainkan peranan penting dalam perkara tersebut.

Justeru, beliau berharap aktiviti mengimarahkan masjid dan surau tidak hanya dijalankan pada bulan Ramadan sebaliknya ia perlu diamalkan sepanjang masa.

“Kepimpinan masjid dan surau wajar mengambil inisiatif, proaktif dan kreatif dalam mendekati umat Islam di peringkat akar umbi.

“Ini kerana peranan mereka penting bagi mengekalkan perpaduan umat Islam agar lebih berjaya dan berdaya saing dalam pelbagai bidang.

“Paling utama adanya kerjasama dan berupaya menghadapi cabaran semasa. Justeru aktiviti mengimarahkan masjid dan surau wajar diamalkan bukan sahaja pada bulan Ramadan tetapi sepanjang masa bagi memastikan objektif ini tercapai,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Sumbangan Ramadan kepada warga emas, orang kurang upaya (OKU) dan penduduk Zon Sampadi di Masjid Kampung Sampadi baru-baru ini.

Terdahulu, Helmi yang mewakili Menteri di Pejabat Ketua Menteri merangkap Menteri Tugas-tugas Khas Tan Sri Datuk Amar Adenan Satem berbuka puasa dan menunaikan solat Maghrib, Isyak dan sunat Tarawih bersama penduduk di kampung berkenaan.