Remaja wajib diterap nilai agama

0

REMAJA CONTOH: Karim (berdiri lima kiri) ditemani Haris (berdiri empat kiri) merakamkan kenangan bersama peserta Program Rakan Muda Ramadan Khatam Al-Quran Peringat Negeri, malam kelmarin.

KUCHING: Golongan remaja sebagai pencorak masa depan negara wajib dilengkapkan dengan nilai hidup berteraskan agama, moral dan budaya.

Menteri Muda Pembangunan Belia (Bandar) Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, ciri dan nilai peribadi unggul khususnya dalam diri anak-anak muda mampu menentukan kecemerlangan negara ke tahap yang lebih tinggi.

“Oleh itu, marilah kita bersama-sama berusaha memastikan generasi remaja kita diterapkan dengan nilai agama yang mampu menjadi benteng ketahanan negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penangguhan Program Rakan Muda Ramadan Khatam Al-Quran Peringkat Negeri mewakili Menteri Perumahan Datuk Amar Abang Johari Tun Openg di Surau Bandarshah Kampung Bintangor di sini, malam kelmarin.

Pada masa sama, Karim memberitahu golongan remaja perlu bersama-sama mencorakkan perubahan bagi membasmi isu-isu keruntuhan moral yang semakin menular dalam masyarakat pada masa kini.

“Kita tidak lagi mampu untuk berpeluk tubuh atau menuding jari sesama kita sekiranya masyarakat Islam khasnya remaja tidak berubah dan terus dibelenggu dengan masalah ini yang akan turut merosakkan institusi keluarga,” tegasnya.

Beliau juga mengingatkan masyarakat Islam khasnya golongan remaja agar tidak leka dengan perubahan arus dunia dan perlu sentiasa mempersiapkan diri dengan ilmu agama supaya tidak lari dari landasan Islam.

“Wujudkanlah penyatuan hati kita ke arah kerja amal dan ibadat agar mendapat keredaan daripada-Nya,” tambahnya lagi.

Justeru, beliau berharap Program Rakan Muda Ramadan dapat membantu membentuk sahsiah diri remaja ke arah keperibadian yang unggul.

“Saya pasti remaja yang menyertai program ini dapat bimbingan yang baik sekali gus menyemai rasa cinta terhadap al-Quran yang merupakan panduan dan pembimbing kita,” ujarnya.

Pada majlis itu, seramai 2,200 remaja dari 110 masjid dan surau seluruh bahagian terlibat dalam program khatam beramai-ramai.

Hadir sama Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Sarawak Abdul Haris Ishak, Timbalan Pengarah Cawangan Pembangunan Rakan Muda Kementerian Belia dan Sukan Malaysia Nor Azli Mohamad Daud, Pegawai Pejabat Daerah Kuching Nur Anisa Abdullah dan Pengerusi Jawatankuasa Surau Bandarshah Naz Ismadi Khalit.