Sedih, pilu iringi pemergian

IBU TIADA LAGI: Suami Halimah Hamree, Awang Shukri Awang Ahmad, 31, mendukung dua anaknya Awang Akif, 3, dan Dayang Auni Hanan, lima bulan.

Jenazah empat kakitangan JAKIM yang maut kemalangan selamat dikebumikan

KUCHING: Panggilan ‘Mama’ oleh Awang Akif Hadwan Awang Shukri me­nambah kesedihan upacara pengebumian ibunya, Allah­yarhamah Halimah Hamree, 30, di Tanah Perkuburan Islam Semariang sekitar jam 2.15 petang semalam.

Awang Akif yang beru­sia tiga tahun seolah-olah mengerti pemergian ibunya apabila turut menangis sambil memanggil-manggil nama ibunya pada upacara yang tu­rut dihadiri oleh kira-kira 100 orang termasuk keluarga dan sahabat handai Halimah.

Halimah yang merupakan daei dan pendakwah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Sarawak adalah salah seorang daripada empat mangsa yang terkorban dalam kemalangan jalan raya di Kilometer 45 Jalan Sri Aman-Sarikei kelmarin.

Bagi ibu Allahyarhamah, Norhanah Enggot, 55, ke­malangan yang meragut nyawa anaknya itu memang mengejutkan memandangkan Hari Raya Aidilfitri bakal tiba tidak lama lagi.

Menurutnya, anaknya tidak menunjukkan sebarang peru­bahan ketara sebelum insiden tersebut.

“Saya hanya perasan wajah arwah berseri-seri sebelum meninggal rumah untuk ke Betong,” katanya kepada pemberita semalam.

Sementara itu, ibu mentua Halimah, Seniah Mansor, 64, berkata tidak banyak yang diperkatakan Allahyarhamah melainkan ingin beraya di Kabong.

“Saya tidak nampak se­barang perubahan dari ke­lakuan beliau. Ini kerana beliau adalah seorang yang ceria dan sentiasa gembira,” ujarnya sambil menambah Halimah mempunyai seorang lagi anak yang berusia lima bulan.

Sementara itu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan kerajaan mengu­capkan takziah kepada semua keluarga mangsa kemalangan tersebut yang disampaikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom pada sidang media di Lapangan Terbang Antara­bangsa Kuching (LTAK), awal pagi semalam.

“Saya mewakili Perdana Menteri ingin mengambil kesempatan untuk meng-ucapkan takziah kepada semua keluarga mangsa rombongan JAKIM Sarawak termasuk seorang dari PERYATIM yang terlibat dengan kemalangan petang tadi (kelmarin).

“Mudah-mudahan Allah SWT mengampuni dan melimpahkan rahmat yang tidak terhingga atas kecurahan tenaga mereka. Khususnya di saat mereka melaksanakan tugas di bulan Ramadan dan kepada keluarga mangsa, kita doakan Allah limpahkan mereka kesabaran agar mereka tabah menghadapi semua ini,” katanya.

Beliau tiba di LTAK tengah malam kelmarin bersama Ketua Pengarah JAKIM Datuk Othman Mustapha dan Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) Datuk Che Mat Che Ali.

Sejurus selepas sidang media tersebut, Jamil Khir serta rombongannya melawat Fakih Ikhwan yang cedera parah dalam kemalangan tersebut dan dirawat di Hospital Umum Sarawak (HUS).

Rombongan kemudian menziarahi keluarga seorang lagi mangsa yang maut Harliani Hanani, 29, di Serian dekat sini sebelum menziarahi keluarga Halimah di Semariang Batu, di sini.

Menurut Jamil Khir, kematian mereka merupakan satu kehilangan yang sangat besar kepada negara terutamanya dalam menyebarkan ajaran Islam.

“Mereka merupakan kakitangan serta pendakwah yang komited dengan tugas dan yang lebih ter-kesan, ada antara mereka adalah alumni Institut Kemahiran Islam Malaysia Sarawak (IKMAS),” katanya.

Jamil turut menyampaikan sumbangan peribadi daripada Perdana Menteri, majlis-majlis agama di peringkat persekutuan, JAKIM serta Jabatan Perdana Menteri kepada ke-luarga mangsa.

Di Sibu, jenazah Allahyarham Ibrahim Hailee, 39, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sibu selepas selesai solat Jumaat sekitar jam 1.45 petang semalam.

Kematian Penolong Pengarah JAKIM Sarawak itu bersama tiga rakan seperjuangannya mengejutkan banyak pihak, khasnya ahli keluarga, saudara-mara dan sahabat handai beliau.

Zuliana Hailee, 33, adik bongsu Allahyarham memberitahu berita pemergian beliau hanya diterima oleh keluarganya di Sibu sekitar jam 5.15 petang kelmarin.

“Pada hari kejadian, sebenarnya saya sendiri bertindak menghubungi pihak JAKIM kerana kita memahami amat sukar untuk mereka memberi perkhabaran itu kepada kami sekeluarga di Sibu.

“Selepas mengetahui hal sebenar, saya bersama ayah terus bergegas ke tempat kejadian dengan kendera-an pihak JAKIM. Saya dan ayah hanya mampu menitiskan air mata melihat keadaan Allahyarham yang dikatakan terhimpit teruk di bahagian pemandu dalam kemalangan itu.

“Segalanya hanya dapat kita serahkan pada Allah SWT, pendek kata tiada apa-apa yang mampu diungkap dari mulut jika ditanya mengenainya,” katanya ketika ditemui semalam.

Allahyarham yang me-rupakan anak keempat daripada enam beradik dan masih bujang disifatkan sebagai seorang yang amat baik, mudah mendekati sesiapa sahaja dan amat akrab dengan ahli keluarganya.

Ketika tinjauan Utusan Borneo di Surau Darul Sa’adah, Jalan Pa’ Dris, Sibu di mana jenazah ditempatkan sebaik sahaja tiba di kediamannya mendapati ruang dan kawasan surau dipenuhi pelbagai lapisan masyarakat selepas kematian beliau mendapat tumpuan umum.

Ibu Ibrahim, Salhah juga tidak berupaya untuk berkata-kata panjang kerana masih dalam kesedihan selepas beliau dikatakan ada menelefon ibunya beberapa hari lalu untuk memberitahu tidak perlu membuat kek yang banyak untuk sambutan Hari Raya Aidilfitri kerana segalanya telah ditempah olehnya.

Bagi Ustazah Hidayati dari JAKIM Sibu, pemergian Ibrahim serta rakan yang lain sudah pasti memberi kesan mendalam kepada semua warga JAKIM kerana beliau seorang yang sangat komited dalam tugas serta banyak memberi inspirasi kepada kakitangan di bawah seliaannya.

“Saya dah kenal Allahyarham hampir 10 tahun. Beliau memang seorang yang baik, peramah dan sentiasa memberikan motivasi kepada kami (kakitangan JAKIM) walaupun teguran disifatkan marah tetapi banyak nasihat yang beliau tegaskan.

“Tetapi, perilaku beliau tampak berubah sejak kebelakangan ini, beliau kurang bercakap dan jarang bergurau dengan kakitangan sedangkan itulah sikap sebenar Allahyarham.

“Bila mendengar khabar berita ini, mulut untuk berkata bagaikan terkelu, sehinggakan memberitahu keluarga Allahyarham menjadi serba salah. Allahyarham seorang yang amat dihormati dan disegani ramai pihak,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Pengarah JAKIM Datuk Othman Mustapha turut menziarahi keluarga serta memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham di Surau Darul Saadah, semalam.

“Perdana Menteri serta Menteri berkaitan menyampaikan salam takziah kepada keluarga Allahyarham. Apa yang me-nimpa beliau suatu yang amat dirasai kerana saya sendiri sering bersemuka dengannya jika ada sebarang perjumpaan mahupun mesyuarat di ibu pejabat.

“Beliau seorang yang sangat berkarisma dan semua kakitangan di bawahnya amat menyenangi beliau dengan cara serta sikapnya ketika menjalankan tugas,” kata Othman.

Jenazah Allahyarham Ibrahim dibawa ke Hospital Sri Aman kemudian dipindahkan ke Masjid Sri Aman untuk pengurusan pemandian jenazah dan dibawa pulang ke Sibu, difahamkan tiba sekitar waktu Subuh semalam.

Turut hadir pada upacara pengebumian di Sibu semalam ialah Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam) Datuk Daud Abdul Rahman, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nangka Dr Annuar Rapa’ee serta yang yang lain.

Jenazah keempat dalam kejadian itu, Qurratu Aini Rolfandy, 23, tiba di kampung halamannya di Sarikei pagi semalam sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sarikei.

Dalam kemalangan yang berlaku sekitar jam 3.20 petang kelmarin, empat kakitangan JAKIM maut apabila kenderaan MPV jenis Toyota Innova yang dinaiki oleh mereka bertembung dengan sebuah lori balak.

Manakala dua lagi mangsa iaitu Mohd Firdaus Ahmat, 23, masih dirawat di Hospital Betong dan seorang kakitangan PERYATIM, Fakih Ikhwan dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) HUS.

What do you think of this story?
  • Angry (0%)
  • Sad (0%)
  • Nothing (0%)
  • Interesting (0%)
  • Great (0%)
Print Friendly

 

We encourage commenting on our stories to give readers a chance to express their opinions; please refrain from vulgar language, insidious, seditious or slanderous remarks. While the comments here reflect the views of the readers, they are not necessarily that of Borneo Post Online. Borneo Post Online reserves the right not to publish or to remove comments that are offensive or volatile. Please read the Commenting Rules.

Affiliates

 

Supplement Downloads

Member of