Mangsa dengar letupan kuat sebelum kebakaran

0

IPOH: “Syamil (Muhammad Norsyamil Zaidi) patah balik dan masuk ke bilik air…budak-budak itu pun ikut sama dan saya gagal selamatkan mereka kerana asap tebal”.

Itu cerita Khairul Anuar Abu Bakar, 32, yang terselamat dalam kebakaran melibatkan rumah penginapan pekerja produk kecantikan Vida Beauty yang mengorbankan tiga orang termasuk dua anak pengasas produk itu Datuk Dr Hamiza Osman.

Tiga yang terkorban dalam kebakaran di Meru Hills, Bandar Meru Raya pada jam 9 malam kelmarin itu ialah Muhammad Eddie Zuhdi Mohd Amin, 11, dan adiknya Muhammad Eddry Zikri Mohd Amin, 10, serta pekerja syarikat itu Muhammad Norsyamil Zaidi, 26, manakala dua lagi pekerja Khairul Anuar dan Rofie Ismail, 31, berjaya menyelamatkan diri.

Muhammad Eddie dan Muhammad Eddry adalah anak pertama dan kedua dari empat beradik.

Menceritakan semula kejadian malam kelmarin, Khairul Anuar yang menyelamatkan diri dengan terjun dari balkoni, berkata beliau pada mulanya ingin membawa dua beradik itu terjun dari balkoni di belakang rumah.

“Apabila mereka mengikut Syamil ke bilik air, saya cuba juga selamatkan mereka tapi gagal kerana asap terlalu tebal,” katanya sambil memberitahu bahawa Muhammad Norsyamil masuk ke bilik air untuk menyelamatkan diri kerana sesak nafas.

Khairul Anuar berkata sebelum kebakaran beliau terdengar bunyi letupan kuat di tingkat bawah rumah berkenaan dan bergegas ke tingkat bawah rumah teres dua tingkat itu untuk mengetahui punca letupan.

“Ketika itu, saya nampak api pada suis elektrik dan saya bergegas ke tingkat atas untuk membawa turun budak-budak itu,” katanya yang ditemui di kediaman Dr Hamiza yang terletak berhampiran tempat kejadian.

Beliau berkata ketika itu asap tebal menyelubungi seluruh ruang rumah itu menyebabkan mereka sukar bernafas.

Khairul Anuar berkata dalam keadaan panik berikutan api marak dan asap tebal, beliau dan Rofie terus terjun dari balkoni di bahagian belakang rumah itu.

“Saya tidak cedera cuma pening-pening. Rofie patah kedua-dua kaki,” katanya yang masih bersedih dengan kematian anak majikan dan rakan sekerjanya.

Jenazah kanak-kanak itu selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Meru Raya pada jam 10.25 pagi semalam manakala jenazah Muhammad Norsyamil dikebumikan di Kampung Teluk Kepayang, Bota.

Suasana pilu menyelubungi anggota keluarga Muhammad Eddie Zuhdi dan Muhammad Eddry Zikri dan Dr Hamiza yang masih terkejut dengan kejadian menimpa keluarganya enggan ditemu bual media. — Bernama