Usah runtuh apa yang ada semata-mata mahu berubah

0

PEKAN: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata apa jua perubahan yang dimahukan rakyat, ia perlulah berlandaskan perubahan yang terancang, tersusun dan rapi.

Perdana menteri berkata tindakan meruntuh atau merudumkan apa yang sedang dinikmati, semata-mata mahukan perubahan, pasti tidak akan menjanjikan sesuatu yang lebih baik.

“Jika kita buat keputusan meruntuhkan apa yang dibina, ia belum tahu adakah lebih baik seperti apa yang dinikmati ketika ini,” katanya ketika berucap pada majlis penyampaian sumbangan Aidilfitri kepada warga emas Kampung Marhum, dekat sini, semalam.

Perdana Menteri berkata, di negara-negara tertentu yang turut melaungkan slogan perubahan, seperti mana pihak pembangkang di negara ini yang berslogankan “ubah”, ternyata rakyat di negara berkenaan tidak mengecapi maksud sebenar perubahan itu, melainkan keaadaan kacau bilau dan perang saudara.

“Jika mahukan perubahan, perubahan yang terancang, tersusun dan rapi adalah lebih terjamin berbanding dengan meruntuhkan apa yang dibina sebelum ini,” katanya.

Perdana Menteri berkata menerusi kestabilan, kemakmuran dan keamanan yang dinikmati, ia membolehkan rakyat menjalani kehidupan normal.

“Kestabilan bagi meneruskan kehidupan untuk mencari rezeki dalam membesarkan anak-anak, beri pelajaran, keadaan kita bertambah lebih baik lagi, jadi kita kekalkan apa yang ada.

“Untuk meruntuhkan, merudumkan, hanya sekelip mata, membina memerlukan bertahun-tahun, dari satu generasi ke satu generasi lain, apa yang dinikmati kini adalah hasil perjuangan pemimpin sebelum ini,” katanya.

Pada majlis itu perdana menteri turut meluluskan peruntukan membina sebuah masjid baharu di kampung berkenaan.

“Sama ada dibina di tapak masjid lama ini, atau tapak lain, saya serahkan kepada jawatankuasa masjid ini untuk memutuskannya,” katanya.

Pada majlis itu seramai 70 orang menerima bantuan berupa wang tunai dan keperluan hari raya.

Seorang penerima warga emas, Hasmah Mahmud, 73, berkata dia terharu dan bersyukur dengan sumbangan yang diberikan.

Katanya, dia menerima sumbangan itu pada setiap kali Hari Raya Aidilfitri.

“Duit ini akan saya gunakan untuk tambah belanja pada Hari Raya nanti.

Terima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dengan pemberian ini,” katanya.

Bagi Mohd Nor Abdul Manaf, 64, pula ini kali pertama dia menerima sumbangan sebagai warga emas.

“Walaupun sumbangan ini tidak seberapa namun ia sedikit sebanyak dapat meringankan beban untuk perbelanjaan Aidilfitri nanti,” katanya. — Bernama