Dibelasah gara-gara rebut kerusi untuk jual rokok

0

KOTA KINABALU: Disebabkan berebut kerusi untuk menjual rokok haram, seorang remaja perempuan pemegang dokumen IMM13 terpaksa menerima rawatan di hospital setelah dibelasah sekumpulan individu dalam insiden di sini, baru-baru ini.

Mangsa yang berusia 16 tahun itu mengalami kecederaan di tengkuk dan muka pada kejadian berkenaan yang berlaku pada 2 Ogos berhampiran sebuah kedai runcit di Kampung Air.

Dalam insiden itu, mangsa yang juga merupakan penjual rokok dikatakan telah bertengkar dengan seorang wanita berusia 20an gara-gara berebut sebuah kerusi untuk melakukan urusniaga di situ.

Berang dengan situasi itu, wanita terbabit bertindak memanggil rakan-rakan lain termasuk seorang lelaki dan tiga wanita untuk memukul mangsa.

Mangsa telah dibelasah oleh suspek-suspek terbabit sehingga mengakibatkan bajunya terkoyak sebelum diselamatkan orang ramai yang secara kebetulan berada di tempat kejadian.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Sabah, Asisten Komisioner Omar Mamah berkata susulan daripada kejadian itu sepasukan anggota polis telah melakukan siasatan dan berjaya menahan tiga daripada suspek terlibat.

“Kesemua suspek berusia 20an yang juga pemegang IMM13 kini direman kerana terbabit dengan insiden bergaduh itu.

“Mangsa kini dalam keadaan stabil setelah dirawat di hospital akibat kecederaannya pada insiden berkenaan,” katanya.

Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan.