Lelaki disangka rusa maut ditembak

0

SRI AMAN: Seorang lelaki yang disangka seekor rusa maut setelah terkena tembakan senjata api daripada rakannya sendiri ketika sedang memburu di hutan di kawasan Gayau, Pantu, kelmarin.

Mangsa yang hanya dikenali sebagai Pantar, 50-an, dipercayai terbunuh sertamerta di tempat kejadian jam 12 tengah hari setelah terkena tembakan di kepala dan perut.

Menurut sumber, sebelum kejadian, mangsa bersama tiga lagi rakannya dikatakan bergerak secara berkumpulan menuju ke kawasan hutan untuk memburu.

“Apabila mengesan kehadiran rusa di kawasan berbukit, mereka kemudiannya berpecah di mana mangsa dikatakan sudah memasuki kepungan bulatan itu,” katanya di sini semalam.

Menurutnya, pada waktu itu cuaca mendung dan salah seorang rakan menyangka bahawa mangsa (Pantar) seekor rusa lalu melepaskan tembakan.

“Rakan mangsa kemudian memanggil dua lagi rakan mereka untuk mendapatkan ‘rusa’ itu namun terkejut apabila mendapati bahawa mangsa sudah meninggal dunia dengan kesan tembakan di kepala dan perut,” katanya.

Mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Sri Aman untuk dibedah siasat.

Sementara itu, rakan mangsa kini ditahan polis bagi membantu siasatan berhubung kejadian.

Ketua Polis Daerah Sri Aman Deputi Superintenden Mat Jusoh Mohamad ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian.

Kes akan disiasat mengikut Seksyen 302, Kanun Keseksaan.