LSS pantau operasi bot ekspres, bot laju sempena Aidilfitri

0

UTAMAKAN KESELAMATAN: Seorang anggota penguat kuasa LSS yang bertugas di sekitar kawasan Terminal Bot Ekspres Sibu.

SIBU: Kurang tiga hari lagi menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri, anggota penguat kuasa Lembaga Sungaisungai Sarawak (LSS) mula melakukan pemeriksaan di segenap sudut Terminal Bot Ekspres Sibu.

Kaunter tiket bot ekspres dan pendaftaran penumpang juga telah dibuka kepada orang ramai sejak beberapa hari lalu.

Menurut kerani tiket, orang ramai yang dianggarkan antara 1,000 orang dijangka mula mengerumuni kaunter berkenaan mulai hari ini.

Paling ramai antara penumpang berkenaan ialah mereka yang bercadang untuk pulang ke Daro.

Jumlah penumpang tersebut, bagaimanapun sudah jauh berkurangan berbanding dua tahun lalu.

Ini kerana sesetengah daripada kawasannya sudah mempunyai jaringan jalan raya yang baik.

“Bagi mereka yang masih menggunakan bot laju atau bot ekspres, caj dikenakan adalah antara RM10 hingga RM17. “Namun, ramai antara mereka memilih untuk menggunakan jalan darat kerana kosnya lebih murah selain masa perjalanannya juga singkat,” kata salah seorang kerani menjual tiket bot ekspres.

Dalam pada itu, terdapat kira-kira 10 anggota LSS berada di sekitar terminal berkenaan.

Pemeriksaan dan pemantauan dilakukan seawal jam 7.30 pagi, ketika orang ramai mula membanjiri terminal tersebut.

Selain itu sekumpulan lagi anggota penguat kuasa dilihat melakukan pemeriksaan ke atas bot laju dan bot ekspres untuk memastikan semua juragannya mempunyai lesen ‘Kapten’.

Sementara itu, seorang penumpang, yang hanya mahu dikenali sebagai Ahmad, memberi pujian kepada langkah- langkah ketat yang dikenakan oleh pihak berkuasa.

“Saya rasa perjalanan lebih selesa dengan pemeriksaan ke atas bot. “Dengan cara itu, sebagai penumpang kami tahu bahawa bot yang dinaiki telah diambil langkah-langkah keselamatan,” katanya.