Marin Sandakan rampas 1,850 liter diesel

0

Minyak diesel yang berjaya dirampas oleh Marin Sandakan.

SANDAKAN: Pasukan Polis Marin di sini berjaya menumpaskan kegiatan penyelewengan minyak diesel setelah berjaya menahan sebuah bot laju yang membawa muatan lebih kurang 1,850 minyak diesel, di perairan Pulau Bai dekat sini awal pagi kelmarin.

Pemangku Komander Pasukan Polis Marin Wilayah 4 Sabah, DSP Husaini Zainal Abidin berkata bertindak atas maklumat orang awam, pada 5 Ogos kira-kira jam 1.30 pagi, semasa menjalankan rondaan Ops Selamat Laut 3/2013, bot ronda Pasukan Polis Marin (PSC 14) yang diketuai oleh seorang pegawai bersama empat anggota telah terserempak dengan sebuah bot laju yang sarat dengan muatan di perairan Pulau Bai di sini.

Setelah menyedari kehadiran bot ronda Pasukan Polis Marin, bot laju berkenaan bertindak memecut namun berjaya dipintas.

Walau bagaimanapun, juragannya berjaya melarikan diri dengan terjun ke dalam laut berbatu dan tidak dapat dikesan, katanya.

Hasil pemeriksaan ke atas bot laju berkenaan mendapati sebanyak 47 tong jerekin dan dua tong dram berisi minyak diesel yang dianggarkan 1,850 liter, yang cuba diseleweng atau diniagakan dengan cara yang salah.

Husaini berkata, minyak diesel merupakan barang kawalan dan jika ianya diurusniaga tanpa suatu lesen yang sah adalah menjadi satu kesalahan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.

“Bot laju dan minyak dirampas serta dibawa ke markas operasi Pasukan Polis Marin untuk tindakan lanjut dan akan diserahkan kepada Jabatan Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Sandakan untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam satu kenyataan di sini kelmarin.

Aktiviti penyeludupan atau perniagaan secara salah ke atas semua jenis barang kawalan ini boleh mengundang kerugian kepada negara dan rakyat Malaysia, kerana pihak kerajaan telah membelanjakan wang yang banyak bagi subsidi ke atas barang-barang kawalan terutama bahan minyak seperti petrol dan diesel yang sepatutnya dimanfaatkan kegunaannya kepada rakyat tempatan sahaja.

“Sehubungan ini, saya mengucapkan terima kasih kepada orang awam yang menyalurkan maklumat kepada pihak polis sehingga berjaya membanteras penyeludupan ini. Kerjasama ini seharusnya dikekalkan.

“Pihak kami juga mengalu-alukan sebarang maklumat berhubung sebarang kegiatan jenayah di perairan khususnya di daerah Sandakan. Maklumat boleh disalurkan dengan menghubungi talian 089-221423/424/453,” katanya.