Tangani jenayah berat: Nancy

0

APA KHABAR: Nancy (duduk tiga kiri) berbual mesra dengan kanak-kanak penghidap kanser di Hospital Umum Sarawak semalam. Turut kelihatan Jamilah (berdiri dua kanan).

Makmal khas akan ditubuh bagi kaji undang-undang baharu jamin keselamatan rakyat

KUCHING: Sebuah makmal khas akan ditubuhkan bagi mengkaji undang-undang baharu yang dapat dilaksanakan di Malaysia dalam usaha menjamin keselamatan rakyat di negara ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Nancy Shukri berkata, makmal itu akan ditubuhkan selepas Hari Raya Aidilfitri yang akan diketuai Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Idris Jala dan dianggotai Datuk Seri Paul Low Seng Kuan, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan beliau sendiri.

Beliau menjelaskan bahawa makmal itu akan meneliti dan mengkaji draf undang-undang baharu yang dapat membantu Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam mencegah jenayah di negara ini.

“Kita sekarang menghadapi masalah dengan penjenayah berat yang mengulangi kesalahan mereka, inilah yang dibimbangi polis dan rakyat mesti faham bahawa kita akan menguatkuasakan undangundang yang ketat kerana keselamatan rakyat lebih penting.

“Sebab itu kita akan menubuhkan sebuah makmal khas ini selepas Hari Raya Aidilfitri nanti,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Sumbangan Raya di Wad Kanser Kanak-kanak di Hospital Umum Sarawak semalam.

Pada masa yang sama Nancy menegaskan bahawa Akta Darurat tidak akan dikuat kuasa semula namun kerajaan mencadangkan undang-undang pencegahan yang lebih ketat yang akan dibentangkan di Dewan Rakyat pada September nanti.

“Kami (kerajaan) tidak akan menguatkuasakan semula Akta Darurat tetapi kami akan mencadangkan undang-undang pencegahan dan kami dijadual membentangkannya di Parlimen pada bulan September nanti,” jelasnya.

Selain itu, beliau memberitahu bahawa pihaknya juga sedang meneliti undang-undang di negara luar yang boleh diguna pakai di negara ini.

Menyentuh mengenai kementeriannya, Nancy berkata beliau sedang menjalankan tinjauan keadaan agensi di bawah bidang kuasanya.

“Melalui tinjuan dan turun padang ini saya dapat melihat masalah mereka, saya sudah ke Sabah, ke pelabuhan dan sekarang sebagai contohnya • Horizon saya dapat membantu mereka untuk meminta bangunan mahkamah baharu di Tawau,” jelasnya.

Beliau memberitahu, menerusi lawatan ke setiap agensi dan di lokasi, masalah yang dihadapi dapat dilihat untuk diambil tindakan sewajarnya.

“Jika kita tidak melakukan lawatan dan melihat masalah yang dihadapi oleh agensi ia adalah sukar untuk mewajarkan permintaan mereka,” ujarnya.

Dalam majlis itu, Nancy menyerahkan sumbangan kepada 28 penerima terdiri daripada kalangan kanak-kanak penghidap kanser dan bayi baharu lahir di HUS.

Program itu merupakan anjuran Persatuan Usahawan Wawasan Wanita Sarawak (SARANITA) yang turut dihadiri Presidennya Jamilah Shukri dan ahli persatuan.