Inisiatif bantu pengguna

0

KUCHING: Lembaga Pemasaran Per tanian Per sekutuan (FAMA) Sarawak menganjurkan program Jualan Khas Aidilfitri di beberapa pasar tani di negeri ini.

Program yang berlangsung selama dua hari bermula semalam itu membabitkan kira-kira 128 pengusaha kecil di Sarawak dan pelancaran program yang diadakan di Medan Niaga Satok (MNS) di sini, semalam dilancarkan Menteri Kerja Raya yang juga Ahli Parlimen Petra Jaya, Datuk Fadillah Yusof.

“Kebetulan MNS ini terletak di kawasan Parlimen (Petra Jaya) dan saya amat berterima kasih kepada FAMA kerana menjalankan program ini.

“ Selain itu, ia memberi kemudahan kepada orang ramai dan pada masa yang sama membantu mempromosikan penjual-penjual di MNS ini,” katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis pelancaran yang dihadiri Pengarah FAMA Sarawak Paza Dan.

Tambah Fadillah, program yang diadakan itu amat bertepatan terutama menjelang Hari Raya di mana ramai masyarakat mahu menyimpan stok daging atau ayam sebagai persediaan.

Sementara itu, Paza berkata, selain di MNS, program jualan juga diadakan di Pasar Tani Semarak, Pasar Tani MJC dan Pasar Tani Bandar Baru Samariang untuk di Kuching, sementara yang lain di Sibu dan Miri.

“Program jualan khas ini dianjurkan bertujuan untuk memudahkan pengguna mendapatkan barang keperluan perayaan segar serta bermutu dengan harga yang berpatutan,” katanya.

Beliau memberitahu, memandangkan sambutan yang menggalakkan daripada pengguna FAMA akan memperluaskan program seumpama itu ke lebih banyak di pasar tani di seluruh negeri.

Diminta mengulas mengenai kenaikan membabitkan beberapa barang kawalan sempena Aidilfitri di bahagian pedalaman Sarawak, katanya, beliau tidak menafikan memang ada berlaku kenaikan.

“Hasil pemantauan, kita dapati barang keperluan berkaitan mengalami sedikit kenaikan berbanding harga siling kerana atas beberapa faktor seperti pengangkutan, tetapi para peniaga tidak menaikkannya (harga) terlalu tinggi,” kata Paza.