TYT dan KM adakan Rumah Terbuka Aidilfitri

0

KUCHING: Yang di-Pertua Negeri Tun Datuk Patinggi Abang Muhammad Salahuddin dan isteri Toh Puan Datuk Patinggi Norkiah akan mengadakan Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri di Astana Negeri.

Pada Hari Raya pertama, beliau akan menerima kunjungan tetamu kehormat seperti menteri-menteri kabinet negeri serta pemimpin tempatan dari jam 10 pagi hingga 12 tengah hari dan dari jam 3 petang hingga 5 petang.

Pada Hari Raya kedua, Tun Salahuddin dan isteri akan menerima kunjungan ketua-ketua jabatan kerajaan dan swasta serta orang ramai dari jam 9 pagi hingga 11.30 pagi manakala pada hari ketiga beliau menerima tetamu di kediamannya di Sri Impian Temenggong, Jalan Matang, di sini.

Pada sebelah petang hari empat Syawal, Tun Salahuddin dan isteri akan melakukan kunjungan Hari Raya ke rumahrumah menteri kabinet negeri, saudara mara dan sahabat handai di sekitar Kuching.

Beliau dan isteri akan mengadakan Rumah Terbuka Hari Raya di Sri Rajang Sibu pada 14 Ogos dari jam 11.30 pagi hingga 2 petang diikuti kunjungan ke Miri pada 17 hingga 18 Ogos.

Sementara itu, Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud dan isteri Puan Sri Ragad Kurdi Taib akan mengadakan Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri pada hari pertama dan kedua di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK).

Pada Hari Raya pertama, Taib dan isteri akan menerima tetamu dari jam 10.30 pagi hingga 12.30 tengah hari dan dari jam 2.30 petang hingga 4.30 petang.

Manakala Hari Raya kedua, beliau dan isteri menerima tetamu dari jam 10 pagi hingga 12.30 tengah hari.

Orang ramai boleh menggunakan perkhidmatan bas yang akan mengambil penumpang di Kompleks Letak Kereta Saujana dan Dewan Undangan Negeri Lama untuk ke BCCK.