Beregu emas berdepan ‘hukuman’

0

TUMPAS: Koo Kien Kiat dan Tan Boon Heong kalah kepada bergu Korea, Kim Ki Jung/Kim Sa Rang 15-21, 16-21 di peringkat suku akhir, Kejohanan Badminton Dunia 2013 di Gimnasium Tianhe di Guangzhou, semalam. — Gambar Bernama

GUANGZHOU: Padah me­nanti beregu utama negara, Koo Kien Keat/Tan Boon Heong apabila mereka ter­kandas pada suku akhir Ke­johanan Badminton Dunia 2013 di Gimnasium Tianhe di sini, semalam.

Pasangan nombor dua dunia dan pilihan kedua kejohanan itu terpaksa akur kepada kehebatan pilihan kelima dari Korea Selatan, Kim Ki Jung-Kim Sa Rang 15-21, 16-21 dan mereka perlu ‘membayar harga yang tinggi’ di atas kekalahan tersebut, selain mengakhiri cabaran Malaysia dalam acara beregu lelaki.

Sebelum ini, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) meletakkan sasaran kepada gandingan itu untuk layak ke final pada kejohanan itu atau akan dipisahkan berikutan prestasi mereka yang meru­dum sejak beberapa tahun lalu.

Pada pertemuan itu, seg­alanya tidak menjadi bagi beregu negara itu sebaliknya pasangan Korea Selatan itu lebih bertenaga dengan corak permainan pantas dan per­tahanan yang kental untuk menempah tempat ke separuh akhir hari ini.

Ketika ditemui pemberita selepas perlawanan itu, Koo berkata mereka telah berusaha bersungguh-sungguh pada kejohanan itu dan terserah kepada kepimpinan BAM bagi menentukan nasib mereka.

“Memang saya masih mahu meneruskan gandingan ini tetapi terpulang kepada BAM di bawah presiden baharu (Tan Sri Tengku Mahaleel Tengku Ariff) untuk mem­buat keputusan (berhubung kedudukan kami).

“Kami memang bersedia untuk kejohanan ini dan sudah melakukan apa yang terbaik tetapi…(tewas di suku akhir),” katanya.

Koo turut kesal dengan sikap peminat tempatan yang sering mengkritik mereka apabila gagal mencapai kepu­tusan yang cemerlang pada sesuatu pertandingan teru­tama membabitkan kejohanan besar sedangkan mereka telah berusaha sedaya upaya.

“Kalau boleh, saya rasa macam mahu bermain (meny­ertai kejohanan) di China sahaja… sama ada menang atau kalah mereka terus beri sokongan. Saya rasa kecewa, apabila kami meraih kejuar­aan tidak ramai yang ucap tahniah tetapi bila kami kalah, ramai yang kritik,” katanya.

Mengenai perlawanan itu, Koo mengakui bahawa pas­angan Korea Selatan itu mempamerkan aksi mantap sehingga sering kali memer­angkap mereka.

Tan turut melahirkan rasa kecewa kerana gagal meneruskan kemaraan kerana mereka turut meletakkan sas­aran tinggi pada kejohanan edisi kali ini.

“Tiada apa yang boleh saya katakan. Biar BAM yang ten­tukan nasib kami,” katanya yang turut mengharapkan agar gandingannya bersama Koo dikekalkan.

Sementara itu, ketua ju­rulatih beregu negara, Tan Kim Her berkata beliau akan menyiapkan laporan berhubung prestasi kesemua beregu negara, termasuk gandingan Koo-Tan pada ke­johanan itu untuk diserahkan kepada BAM.

“Mereka (Koo-Tan) sudah cuba sedaya upaya. Saya akan siapkan laporan dan terpulang kepada Jawatankuasa Kejuru­latihan dan Latihan (BAM) untuk membuat keputusan muktamad,” katanya yang mengakui bahawa kedua-dua pemain berkenaan telah berusaha bersungguh-sung­guh pada kejohanan itu tetapi nasib tidak menyebelahi mereka.

Dua lagi beregu negara – Mohd Zakry Abdul La­tif/Mohd Fairuzizuan Mohd Tazari serta Hoon Thien How/Tan Wee Kiong pula terkandas di pusingan ketiga semalam manakala Goh V Shem-Lim Khim Wah ters­ingkir di pusingan kedua. — Bernama