Site Last Updated 4:10 pm, Monday

Jadikan perayaan sebagai landasan jayakan 1Malaysia

by Kelvin Lambai. Posted on August 10, 2013, Saturday

SELAMAT HARI RAYA: Harden (duduk tengah), Jolly (dua kiri), Kuek Aik Seng (kanan) bersama ahli-ahli keluarga Jolly pada Rumah Terbuka di Kampung Muhibbah, Sri Aman kelmarin.

SRI AMAN: Menteri Muda Pembangunan Luar Bandar dan Menteri Muda Perumahan Datuk Francis Harden Hollis mahu setiap perayaan diraikan oleh rakyat pelbagai kaum di negara ini sebagai landasan untuk menjayakan gagasan 1Malaysia yang diilhamkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Menurut beliau, adalah wajar setiap perayaan yang diraikan rakyat Malaysia tidak kira di Sarawak mahupun Sabah dan Semenanjung Malaysia diraikan semua kaum secara bersama.

“Sudah menjadi budaya masyarakat kita di Sarawak pada setiap perayaan, kita akan melakukan kunjung-mengunjungi kepada saudara-mara dan rakan-rakan, sahabat handai atau jiran tetangga tanpa mengira kedududukan, pangkat dan agama yang melambangkan kita berada dalam 1Malaysia,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang mengadakan kunjungan Hari Raya Aidilfitri di kediaman ketua-ketua masyarakat Melayu di kawasan DUN Simanggang di sini kelmarin.

Harden berkata, budaya kunjung-mengunjungi adalah satu budaya yang amat unik dan harus diteruskan untuk menjamin perpaduan yang harmonis antara rakyat berbilang kaum.

“Perpaduan rakyat berbilang kaum di negeri ini amat penting untuk kita maju ke hadapan.

“Seperti kita semua maklum, kita mempunyai banyak kaum yang tinggal di seluruh negeri.

“Kita dapat tinggal bersama dalam aman dan damai, menghormati agama, budaya dan adat resam kaum-kaum lain.

“Kita merasai tidak ada rusuhan kaum berlaku seperti negara-negara lain. Oleh itu, negeri dan negara terus berada dalam suasana sejahtera,” ujarnya.

Katanya, rakyat harus berterima kasih kepada kerajaan Barisan Nasional (BN) kerana mempunyai dasar yang amat baik dan bersikap adil dalam semua dasar dan rancangan pembangunannya.

“Semua suku kaum, kecil atau besar diberi peluang saksama dan apa yang saya harapkan, perpaduan rakyat yang baik bukan datang secara tiba-tiba sahaja.

“Tokoh-tokoh politik, para pemimpin, ketua masyarakat sejak berpuluh-puluh tahun lalu bekerja kuat, berbincang tidak berhenti-henti supaya prinsip perpaduan kekal di rakyat negeri ini.

“Oleh itu, penyertaan jabatan-jabatan dan agensi-agensi kerajaan serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menyumbang tenaga dan kemahiran dalam mengelola aktiviti berbentuk perpaduan untuk mengekalkan perpaduan di negara kita amatlah dihargai,” tegasnya.

Hadir sama Pembantu Pembangunan Masyarakat di Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) Bahagian Sri Aman Kelvin Lambai, Ketua Pemuda Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Cawangan Simanggang Patrick Michael Dian, Ketua Wanita SUPP Simanggang Ling Siew Hung serta Kapitan Kuek Aik Seng.

Dalam pada itu, antara rumah terbuka yang dikunjungi Harden pada Hari Raya Aidilfitri termasuk Ketua Kampung, Kampung Muhibbah Zon Paya Utara Jolly Rambli dan Kaunselor Mostapha Tugo di Kampung Muhibbah, Sri Aman.

Print Friendly

We encourage commenting on our stories to give readers a chance to express their opinions; please refrain from vulgar language, insidious, seditious or slanderous remarks. While the comments here reflect the views of the readers, they are not necessarily that of Borneo Post Online. Borneo Post Online reserves the right not to publish or to remove comments that are offensive or volatile. Please read the Commenting Rules.

Comments are closed.