Naik taraf kemudahan memadam kebakaran

0

LAWAT: Oscar (tengah) mendengar sesuatu daripada salah seorang mangsa kebakaran di Rantau Panjang, Sibu.

SIBU: Ahli Parlimen Sibu Oscar Ling menyarankan supaya Jabatan Bomba dan Penyelamat Sibu menaik taraf setiap kemudahan memadam kebakaran bagi meningkatkan kecekapan jabatan berkenaan.

Oscar berkata, jabatan berkenaan perlu menghantar kakitangan mereka dengan lebih kerap bagi menjalankan pemeriksaan rutin ke atas alat pemadam api sama ada di kawasan bandar atau sebaliknya.

“Ini akan mengurangkan banyak masalah atau mencegah kebakaran yang memusnahkan harta benda dan sebagainya,” katanya ketika melawat mangsa kebakaran di Rantau Panjang.

Kebakaran pada 1 Ogos lalu memusnahkan lapan rumah.

Menurut Ling, penduduk tempatan tidak berpuas hati dengan Jabatan Bomba ekoran kelewatan mereka tiba di tempat kejadian.

Katanya, beliau dimaklumkan oleh penduduk kampung bahawa anggota bomba dan penyelamat mengambil masa kira-kira satu jam untuk sampai ke tempat kejadian.

Lebih malang, anggota bomba terbabit gagal mencari pili bomba yang disediakan selain mempunyai masalah hos air.

Tambah beliau, ini menunjukkan pihak bomba tidak berada dalam kecekapan yang sebenar selain tidak dapat bertindak segera dalam proses menyelamat.

“Jika semuanya berada dalam keadaan teratur, maka pihak bomba dapat menyelamatkan rumah-rumah lain yang musnah dijilat api,” katanya.

Selain itu, beliau juga mengingatkan pemilik kedai supaya turut memiliki alat pemadam api di kedai masing-masing.

Ia bertujuan sebagai langkah pencegahan awal sementara menunggu bantuan menyelamat tiba.

Ling turut mengingatkan Jabatan Bomba supaya sentiasa menjalankan pemeriksaan di rumah kedai untuk memastikan pemilik kedai mematuhi undang-undang dan peraturan keselamatan.