CMS komited terhadap kebajikan, kemasyarakatan

0

TAJAAN: Curtis (tiga kanan) menyerahkan replika cek tajaan bernilai RM15,000 kepada Dr Rauf mewakili PBSM Cabang Kuching sambil disaksikan oleh Dr Chou (dari kanan), Abang Karim, Chuo dan yang lain.

KUCHING: Cahya Mata Sarawak (CMS) menyokong penuh usaha Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) Cabang Kuching menganjurkan program larian amal untuk mengumpul dana bagi membiayai pelbagai projek kebajikan dan kemasyarakatan kelolaan persatuan.

Pengarah Urusannya Datuk Richard Curtis berkata CMS berbangga menjadi penaja kepada program ini yang disifatkannya sebagai satu inisiatif yang baik oleh persatuan dalam usaha membantu masyarakat yang kurang bernasib baik dan memerlukan.

“CMS berbangga kerana berpeluang menjadi penaja bagi program ini sejak beberapa tahun yang lalu hingga kini dan akan terus menyokong usaha ini pada masa akan datang.

“Bagi kami di CMS, sumbangan dalam bentuk tajaan yang diberikan bukan sahaja untuk membantu persatuan dari segi kewangan tetapi apa yang lebih penting ialah menyemai kesedaran di kalangan kakitangan CMS mengenai pemakanan dan gaya hidup sihat di samping menyumbang semula kepada masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Replika Cek Tajaan bernilai RM15,000 kepada PBSM Cabang Kuching bagi menjayakan program larian amal yang dijadualkan berlangsung pada 27 Oktober depan di sini.

Cek tersebut diserahkan kepada Pengerusi PBSM Cabang Kuching Datuk Dr Abang Abdul Rauf Abang Zen sambil disaksikan oleh Penasihatnya Datuk Abang Abdul Karim Tun Abang Openg, Timbalan Pengerusi Dr Chou Chii Ming, Pengerusi Kutipan Dana Titus Chuo dan lain-lain.

Terdahulu pada majlis itu Dr Rauf berkata, persatuan memerlukan dana antara RM30,000 hingga RM50,000 bagi membiayai pelbagai projek kebajikan dan kemasyarakatan kendalian persatuan setiap tahun.

Bagi tujuan itu, persatuan menganjurkan program larian amal setiap tahun sejak 1975 dalam usaha mengumpul dana di samping menekankan gaya hidup sihat dalam kalangan masyarakat menerusi aktiviti berbentuk sukan dan senaman.

Tahun ini katanya, PBSM Cabang Kuching sekali lagi menganjurkan larian amal yang dijadualkan berlangsung pada 27 Oktober depan yang terbuka kepada ahli-ahli persatuan, golongan pelajar dan orang ramai sama ada lelaki mahupun wanita.

Semua peserta perlu menandatangani borang deklarasi yang disertakan dengan peraturan dan syarat pertandingan dan pelari mestilah pemegang kad tajaan rasmi dengan kutipan minimum RM30.

Program larian amal ini dibahagikan kepada enam kumpulan iaitu terbuka lelaki (19 tahun dan ke atas), terbuka wanita (19 tahun dan ke atas), pelajar sekolah menengah lelaki (18 tahun dan ke bawah), pelajar sekolah menengah perempuan (18 tahun dan ke bawah), kanak-kanak sekolah rendah lelaki (13 tahun dan ke bawah) dan kanak-kanak sekolah rendah perempuan (13 tahun dan ke bawah).

Tarikh tutup penyertaan adalah pada atau sebelum 18 Oktober 2013 tepat jam 5 petang dan borang perlu dihantar kepada penganjur di Ibu Pejabat PBSM Cabang Kuching, Jalan Reservoir dekat sini.

Hadiah berbentuk trofi akan diberikan kepada tiga pemenang terbaik setiap kategori dan hadiah menarik akan diberikan kepada lima individu yang berjaya memperolehi kutipan tertinggi.