Site Last Updated 3:24 pm, Thursday

DAP perluas pengaruh di kawasan bukan Cina

by Patricia Gari. Posted on August 13, 2013, Tuesday

 

MUKA BAHARU: Abdul Aziz bersama Chong menghadiri sidang media di Ibu Pejabat DAP Sarawak, di Kuching, semalam.

Buka pusat khidmat di kawasan DUN Tupong dalam usahanya mendekati rakyat di situ

KUCHING: Parti Tindakan Demokratik (DAP) Sarawak membuka satu lagi pusat khidmat parti di kawasan bukan Cina iaitu di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tupong dalam usahanya mendekati rakyat di situ.

Pengerusinya Chong Chieng Jen berkata pusat pertama seumpama itu telah dibuka di Mukah sebelum Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) lepas.

Menurutnya pejabat pusat khidmat itu yang terletak di kawasan komersial Emart Matang di sini akan mula beroperasi pada awal September depan dan ia akan dikendalikan oleh pembantu khas baharunya Abdul Aziz Isa, 24.

Beliau menambah pembukaan pusat khidmat DAP di Tupong merupakan antara usaha serta perancangan parti itu menyusun semula strategi menawan kawasan Melayu di negeri ini pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

“Penubuhan pusat ini penting untuk membolehkan masyarakat di situ merasai kehadiran DAP seterusnya menyediakan perkhidmatan kepada penduduk yang bukan sahaja di kawasan Tupong tetapi dari sekitar Matang dan Batu Kawa,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat DAP Sarawak di sini semalam.

Chong yang juga Ahli Parlimen Bandar Kuching dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Sentosa turut mengakui bahawa DAP berminat bertanding di kawasan DUN Tupong pada PRK akan datang meskipun secara tradisinya Parti Keadilan Rakyat (PKR) sering meletakkan calonnya di situ.

Menurut beliau isu parti mana yang berhak bertanding di kerusi Tupong kelak tidak harus dibangkitkan sekarang dan percaya ia boleh diselesaikan menerusi rundingan dengan parti pembangkang lain di negeri ini termasuk Parti Islam Se-Malaysia (PAS).

“Begini…kita mesti melihat pembukaan pejabat pusat khidmat ini sebagai usaha DAP membantu pakatan secara keseluruhannya memperkukuhkan lagi pengaruhnya di kawasan bukan Cina khususnya Melayu dan memantapkan strategi memenangi lebih banyak kerusi pada Pilihan Raya Negeri akan datang,” ujarnya.

Sementara itu, ketika memperkenalkan pembantu khas baharunya, Chong berkata ia merupakan satu lagi contoh generasi muda boleh berfikir secara matang dan memilih politik yang lebih baik.

“Saya percaya dengan latar belakang Abdul Aziz dan kelayakannya selain minat mendalam dalam politik, beliau dapat memberi khidmat terbaik kepada masyarakat di sini yang perlukan bantuan,” katanya.

Abdul Aziz lepasan Ijazah Sarjana Muda Sains Sosial (Kajian Politik dan Pemerintahan) daripada Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) sebelum ini pernah mengikuti latihan industri di pejabat DAP selama lebih dua bulan dan kini dilantik sebagai pembantu khas kepada Chong.

Beliau memberitahu bahawa minatnya terhadap politik mula dirasai ketika di sekolah menengah lagi rentetan minat mendalam terhadap mata pelajaran Sejarah.

“Di sekolah cikgu sering bercakap mengenai parti DAP dan daripada penjelasan mereka, DAP sering dikaitkan dengan komunis, bermula dari situ saya menyimpan tekad untuk mengetahui lebih mendalam mengenai parti ini.

“Apabila saya menjejak kaki ke universiti mengikuti pengajian Sains Sosial, major (pengkhususan) dalam Kajian Politik dan Pemerintahan saya mengkaji dengan lebih mendalam mengenai DAP dan saya mendapati beberapa tanggapan negatif mengenai parti ini adalah tidak benar.

“Saya mahu tahu siapa itu Karpal Sing dan Lim Kit Siang, bermula dari situ saya berminat menyertai parti ini secara rasminya lebih sebulan lalu,” katanya.

Abdul Aziz juga percaya menyertai DAP tidak bererti beliau akan meninggalkan bangsa dan agama tetapi lebih kepada perjuangan agenda politik demi rakyat.

“Ramai pemimpin DAP juga dalam kalangan orang Melayu, sebab itu saya pilih parti ini kerana bagi saya ia adalah parti pelbagai kaum yang sebenar,” katanya.

Print Friendly

We encourage commenting on our stories to give readers a chance to express their opinions; please refrain from vulgar language, insidious, seditious or slanderous remarks. While the comments here reflect the views of the readers, they are not necessarily that of Borneo Post Online. Borneo Post Online reserves the right not to publish or to remove comments that are offensive or volatile. Please read the Commenting Rules.

Comments are closed.